suria

Marin Rompin rampas haiwan eksotik seberat 12 tan

ROMPIN: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Daerah Rompin merampas haiwan eksotik seberat 12 tan yang cuba diseludup keluar dalam satu serbuan di Jeti Lama Tanjung Gemok di sini hari ini.

Ketua Bahagian Operasi/Risikan Wilayah 3 PGM DSP Mohd Hassan Hashim berkata dalam serbuan pukul 3 pagi yang dijalankan oleh lima pasukan daripada Gerak Khas Wilayah 3 hasil maklumat orang awam itu turut berjaya menahan dua lelaki berusia dalam lingkungan 40an dan 50an.

"Haiwan eksotik yang dirampas ialah daging beruang, biawak dan burung hantu dengan nilai rampasan dianggarkan RM400,000 termasuk sebuah bot. Ketika serbuan dijalankan, dua lelaki sedang memunggah puluhan kotak ke atas sebuah kapal kargo di jeti itu.

"Pemeriksaan awal mendapati mereka cuba menyeludup secara haram pelbagai spesies haiwan eksotik dari negara ini iaitu biawak, daging beruang meliputi tangan, kaki dan badan tanpa kepala serta burung hantu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Hassan berkata kesemua binatang liar berkenaan dipercayai datang dari Tanjung Malim, Perak yang dibawa dengan menggunakan sebuah lori ke Tanjung Gemok.

Katanya lokasi di Tanjung Gemok itu juga dipercayai sebagai transit oleh penyeludup mengumpulkan barangan berkenaan dan haiwan eksotik yang dimuatkan ke dalam bot kargo itu dipercayai dibawa ke tengah laut sebelum dipunggah ke sebuah bot lain dan membawanya ke negara jiran.

"Kedua-dua lelaki berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain