suria

Subramaniam umum pelan masa depan politiknya waktu terdekat

KUALA LUMPUR: Datuk S. Subramaniam yang kalah buat kali kedua dalam pemilihan Timbalan Presiden MIC hari ini akan memutuskan langkah seterusnya dalam bidang politik dan dalam parti itu waktu terdekat ini.

"Saya terima keputusan ini, saya terima keputusan perwakilan," kata beliau ketika ditemui selepas keluar dari dewan pengiraan undi di Bilik Pangkor, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini sebentar tadi.

Beliau yang keluar dari dewan pengiraan undi kira-kira 7.50 petang berkata, beliau memang tidak menjangkakan keputusan hari ini.

"Saya juga minta penyokong-penyokong saya agar bersabar menanti tindakan susulan saya," kata beliau yang dikerumuni penyokongnya yang kelihatan emosional sambil melaungkan "anda tetap pemimpin kami".

Difahamkan beliau menitiskan air mata ketika keluar dari PWTC selepas menemui wartawan.

Bagaimanapun Subramaniam mengakui kekalahannya juga berpunca daripada amalan politik wang.

Ketika ditanya tentang bakal terima surat tunjuk sebab Jawatankuasa Disiplin, Subramaniam berkata, beliau bersedia terima apa saja kemungkinan.

Minggu lalu MIC memutuskan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Subramaniam selepas pemilihan hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk S. Sothinathan berkata, beliau juga menghormati keputusan para perwakilan.

"Di sebalik pandangan Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak) pagi tadi (yang mahukan MIC berubah dan memenuhi kehendak masyarakat) dan para perwakilan tahu tentang keperluan perlu dibawa perubahan, ini keputusan mereka... apa saya boleh buat," kata beliau yang merupakan Naib Presiden sejak 2006.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain