suria

Najib: Pemimpin komponen BN jangan hanya popular kalangan ahli parti

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu di Perhimpunan Agung Tahunan MIC kali ke-63 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu di Perhimpunan Agung Tahunan MIC kali ke-63 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu di Perhimpunan Agung Tahunan MIC kali ke-63 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

KUALA LUMPUR: Dalam ucapannya yang disifatkan sebagai penegasan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengingatkan parti-parti komponen supaya tidak hanya popular di kalangan ahli parti.

Tegas beliau, parti-parti komponen BN seharusnya juga perlu popular di kalangan rakyat jelata jika mahu mendapatkan semula sokongan yang pernah dinikmati masa-masa lalu.

"Kuasa mutlak terletak di tangan rakyat... sebab itu saya selalu mengingatkan kita jangan hanya popular di kalangan ahli parti saja, tidak popular di kalangan rakyat jelata," kata beliau ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63 pagi tadi.

Ini kali pertama beliau berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC selaku Perdana Menteri. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga hadir. Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat merupakan antara pemimpin parti komponen yang turut hadir.

Dalam ucapanya itu yang disambut oleh sebahagian perwakilan MIC - dipercayai penyokong bukan Pasukan Presiden - dengan tepukan gemuruh dari semasa ke semasa, Pengerusi BN menambah, dalam sistem demokrasi berparlimen suara keramat ialah suara rakyat dan kuasa mutlak adalah di tangan rakyat yang menentukan nasib BN dalam setiap pilahan raya umum.

"Perkara ini relevan untuk diingat sama ada pada Umno, pada MCA, pada MIC atau semua parti kompenan BN... bahawa pertimbangan yang paling penting ialah sejauh mana kita popular di kalangan rakyat... bukan popular di kalangan ahli sahaja," katanya.

"Kalau kita popular di kalangan ahli parti kita boleh menang jawatan dalam parti tapi sama ada parti kita relevan atau tidak ialah sama ada kita boleh menang di kalangan hati rakyat untuk menyokong parti BN," kata Najib yang berucap tanpa menggunakan teks ucapan. Najib yang memulakan ucapannya dengan mencuit perasaan perwakilan bahawa "Perhimpunan Agung MIC selamat dijalankann kerana tiada bom hidrogen dan bom nuklear" memberitahu, rakyat akan menghukum BN jika parti-parti komponen gagal memperoleh sokongan mereka.

"Hari ini rakyat bukan lagi rakyat tahun 50-an. Rakyat sudah cerdik pandai... mereka sudah pandai menilai dasar-dasar kita.

"Oleh itu untuk parti komponen BN kekal relevan, kita mesti membina hubungan dengan rakyat, mendampingi mereka," katanya lagi.

KPI MIC

Sehubungan itu, Najib yang juga Presiden Umno mengesyorkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) MIC untuk menarik kembali sokongan masyarakat India.

"Kita mahu mendapatkan balik sokongan masyarakat India," kata Najib sambil menambah, pemimpin-pemimpin MIC perlu menunjukkan kesungguhan untuk menjalin hubungan baik dengan masyarakat India.

"Jangan buat kerja yang tidak patut dibuat," tegas beliau yang kembali menekankan keperluan soal kesungguhan yang perlu diamalkan oleh pemimpin MIC.

Najib juga menerima penghormatan tepukan gemuruh berdiri daripada kesemua perwakilan dan pemerhati MIC apabila mengatakan bahawa kerajaan BN akan menyediakan lebih kemudahan jika masyarakat India memberikan "respons dalam bentuk sokongan besar."

MIC antara parti komponen BN merekodkan prestasi buruk dalam pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Timbalan Presiden, Datuk G. Palanivel; Naib Presiden, Datuk S. Sothinathan dan Ketua Wanita serta Ketua Pemuda merupakan antara enam daripada sembilan calon MIC kalah kerusi Parlimen.

ISYARAT JELAS

Najib juga berkata, beliau juga telah banyak kali memberikan isyarat jelas bahawa pemimpin komponen BN harus memperlihatkan kesungguhan untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat. Tambah beliau, rakyat akan menunjukkan rasa benci jika pemimpin angkuh, menyalahgunakan kuasa dan menunjukkan kuasa secara melampau.

Najib turut menerima penghormatan tepukan gemuruh apabila beliau berkata, "marilah bersama saya dalam perjalanan merealisasikan satu impian, satu masyarakat, satu bangsa dan satu Malaysia" selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain