suria

Juruterbang sempat kirim wang kepada ibu

MACHANG: Salah seorang daripada dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Langkawi semalam, sempat mengirimkan wang kepada ibunya untuk membuat persiapan raya.

Ibu kepada Allahyarham Mejar Mohd Roszaini Mohd Mustafa, Che Azizun Che Mamat, 68, berkata dua hari sebelum kejadian malang itu, anak keenam daripada lapan beradik itu telah menelefon memaklumkan beliau telah memasukkan wang bulanan yang lebih daripada biasa dalam buku akaun ibunya.

"Tetapi duit itu saya sudah belikan kain untuk saya dan satu lagi kain untuk dibuat baju raya anak saya yang sama warnanya.

"Dia cakap sekarang ini dia sibuk selalu. Pagi dan petang kena buat penerbangan. Tapi saya pesan dekat dia, tidak perlu dikejar sangat kerja itu," kata ibunya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Lalok di sini hari ini.

Che Azizun berkata beliau menerima berita kematian anaknya itu pada pukul 2 petang semalam.

"Saya terkejut mendapat khabar kematian anak saya, kerana tidak sempat hendak siapkan baju raya untuk dia. Tetapi saya reda dengan ketentuan ilahi," katanya.

Mohd Roszaini, 37, terkorban bersama rakannya Mejar Mohd Zulkifli Hasan, 38, ketika pesawat latihan PC7 MKII yang mereka naiki dari Pangkalan Kolej Tentera Udara Alor Setar terhempas pada 12.20 tengah hari di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Jenazah Mohd Roszaini disemadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pek, dekat sini dengan turut dihadiri isteri Allahyarham, Pahizawati Mohd Noor, 31.

Allahyarham turut meninggalkan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki berumur antara 3 hingga 11 tahun. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain