suria

Jenazah juruterbang selamat dikebumikan

TAIPING: Selain jenazah Mejar Mohd Roszaini Mohd Mustafa yang dikebumikan di kampungnya di Machang, Kelantan, jenazah Mejar Mohd Zulkifli Hasan turut dikebumikan di kampungnya di Kamunting di sini hari ini.

Jenazah Mohd Zulkifli dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Larah kira-kira 7.30 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan isteri Suzi Sidek, 36, dan lima orang anak berusia antara satu hingga 11 tahun.

Mohd Zulkifli, 38, dan Mejar Mohd Roszaini Mohd Mustafa, 37, terbunuh semasa melakukan penerbangan latihan apabila pesawat Pilatus PC7 yang mereka naiki terhempas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kira-kira 12.20 tengah hari semalam.

Kedua-duanya berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia di Kepala Batas, Kedah.

Bapa Mohd Zulkifli, Hasan Mawee, 65, berkata kali terkahir beliau berjumpa dengan anak sulungnya itu ialah pada hari pertama puasa.

"Arwah ada meninggalkan pesan kepada salah seorang adiknya supaya menjaga ibu dan bapa serta anak-anaknya sambil berbisik di telinga saya bahawa dia tidak akan kekal lama.

"Selepas itu, arwah tidak lagi balik ke rumah sehinggalah (kami) menerima berita kematiannya. Tidak disangka beliau akan jauh meninggalkan kami selama-lamanya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain