suria

Polis tahan wanita Thailand miliki kokain RM600,000

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita warga Thailand kerana memiliki dadah jenis kokain seberat 787.4 gram dianggarkan bernilai RM600,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah tumpangan di Jalan Pudu, Isnin lepas.

Ketua Bahagian Narkotik Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata dalam serbuan pukul 8 malam itu, polis merampas sebuah beg plastik berwarna putih mengandungi satu ketulan besar dadah dan 31 ketulan kecil dadah seberat 496.7 gram lagi ditemui di dalam seluar dalam suspek.

Suspek yang juga seorang ibu tunggal berumur 27 tahun itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan XRay.

"Hasil pemeriksaan itu mendapati terdapat 31 ketulan kecil dadah lagi di dalam perut suspek seberat 290.7 gram. Suspek kemudiannya mengeluarkan dadah itu," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kang berkata suspek sebelum itu menaiki penerbangan dari Bangkok, Thailand ke Singapura dan seterusnya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum berhenti di Brazil.

"Ketika di Brazil, suspek kemudian menelan dan menyembunyikan dadah itu di dalam seluar dalamnya," katanya sambil menambah polis percaya suspek telah dijadikan 'keldai dadah' oleh ketua pengedar warga Afrika yang bertapak di Thailand.

Menurut Kang pada 8 September lepas, seorang lelaki warga Filipina dijangka mengambil dadah tersebut untuk dibawa pulang ke Thailand menaiki bas, tetapi hasil tindakan pantas, polis berjaya menahan lelaki terbabit pada pukul 2 pagi di dalam bilik wanita berkenaan.

Katanya, penahanan suspek warga Thailand itu merupakan kurier perempuan kelapan yang berjaya diberkas pihak polis pada tahun ini.

Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama polis Malaysia dan Thailand. Susulan penahanan suspek, polis berjaya membanteras sindiket dadah antarabangsa menggunakan perempuan asing untuk membawa dadah dari Dubai ke Thailand melalui Malaysia," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain