suria

PM nasihati pelajar U melalui tayangan video khas

SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pagi Rabu mengingatkan semua penuntut pengajian tinggi agar mengutamakan keselamatan diri sewaktu di jalan raya dalam perjalanan pulang untuk berhari raya di kampung halaman.

“Saudara-saudari adalah aset penting negara. Jagalah keselamatan diri ketika dalam perjalanan pulang berhari raya nanti,” ujarnya.

Nasihat itu disampaikan menerusi tayangan video yang disiarkan semasa pelancaran Program Mesej Peribadi Perdana Menteri sempena Aidilfitri di Fakulti Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Program itu adalah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha merapat serta mewujudkan hubungan mesra antara Perdana Menteri dengan para pelajar IPT. Ia dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pagi semalam.

Mohamed Khaled berkata, program yang pertama kali diadakan ini membuktikan keprihatinan Perdana Menteri kepada golongan mahasiswa dan mahasiswi di negara ini.

"Sebelum ini, setelah 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, beliau telah melawat tiga universiti dan memberikan 100 unit Amanah Saham Malaysia kepada 50,000 pelajar setiap seorang.

"Beliau memberi komitmen jelas bahawa dasar-dasar KPT akan tetap diteruskan di bawah pentadbirannya dan ini menunjukkan betapa besarnya pengiktirafan beliau terhadap pelajar-pelajar IPT," kata Khaled.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain