suria

PKFZ: TIM gesa kerajaan bertindak tanpa gentar atau pilih kasih

KUALA LUMPUR: Transparency InternationalMalaysia (TIM) menggesa kerajaan supaya menyiasat dari segenap sudut dan tidak bersikap pilih kasih atau berasa gentar berhubung kemelut Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan dalam kes-kes lain.

Setiausaha agungnya Dr Loi Kheng Min berkata kesemua pendapat dan cadangan yang dikemukakan oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh kerajaan perlu didedahkan kepada umum serta dilaksanakan, dan langkah tegas yang segera perlu diambil terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan meskipun di peringkat tertinggi.

"TIM mengalu-alukan dan menyokong penubuhan pasukan khas persekutuan di peringkat tertinggi berkaitan isu PKFZ yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi menandakan keprihatinan dan komitmen kerajaan ke arah mencapai kebertanggungjawaban, integriti dan ketelusan.

"Langkah untuk menyiasat dan menangani masalah dalam PKFZ melibatkan kepentingan nasional dan bukan hanya Kementerian Pengangkutan dan menterinya, di mana kemelut ini mempunyai implikasi yang serius terhadap orang ramai, negara dan imej Malaysia di persada antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata TIM mengharapkan tadbir urus yang baik dilaksanakan dalam PKFZ dan pengajaran daripada isu PKFZ serta langkah yang diambil juga boleh diguna pakai oleh agensi kerajaan yang lain.

"Peraturan tadbir urus semasa untuk agensi kerajaan perlu disemak semula bagi mengambil kira perubahan persekitaran tempatan dan antarabangsa serta kemajuan yang dicapai oleh negara lain, dan jangkaan umum terhadap kebertanggungjawaban, integriti dan ketelusan yang lebih baik.

"Sistem, prosedur dan pandangan jauh perlu ada bagi memastikan tidak lagi berlaku penyalahgunaan kuasa atau penyalahgunaan dana awam oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa," katanya.

Projek PKFZ diselubungi kontroversi berikutan kos pembangunannya yang meningkat daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas peringkat tertinggi bagi menyediakan laporan berhubung projek PKFZ.

Pasukan petugas itu akan dianggotai Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharan, Peguam Negara, dan pegawai dari Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Kewangan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain