suria

Pemandu peguam dipenjara 3 tahun guna wang palsu

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu peribadi kepada seorang peguam dijatuhi hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dan memiliki wang palsu dua tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Fadzlie Hisyam Mat Zin, 26, di akhir kes pembelaan setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Fadzlie Hisyam dihukum penjara tiga tahun bagi pertuduhan menggunakan sekeping wang kertas RM50 palsu untuk membeli sepasang cermin mata bernilai RM10 dari seorang peniaga kaki lima di sebuah gerai bersebelahan Hong Leong Bank Jalan Pasar, Dang Wangi, 16 Dis 2007.

Manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dihukum penjara setahun bagi tuduhan memiliki enam keping wang tunai RM50 palsu di tempat yang sama, 16 Dis 2007.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan keduadua hukuman berjalan serentak dan bermula hari ini.

Pada prosiding perbicaraan kes, tiga saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kassim. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain