suria

MIC: Undian Internet memihak barisan Presiden

PUTRAJAYA: Hasil undian melalui internet yang dijalankan sejak 20 hari lalu menjelang pemilihan MIC esok telah memihak kepada calon pilihan presiden Datuk seri S. Samy Vellu.

Tinjauan Bernama terhadap empat laman web yang mengendalikan undian itu menunjukkan penyandang timbalan presiden Datuk G. Palanivel mendahului dalam tiga laman web itu manakala bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam dalam satu lagi laman web berkenaan.

Pertandingan untuk jawatan timbalan presiden adalah antara Palanivel, Subramaniam dan naib persiden Datuk S.Sothinathan.

Sebelum ini, Samy Vellu, yang mengekalkan jawatan tanpa bertanding Mac lalu, mengumumkan bahawa beliau akan menyokong Palanivel untuk mengekalkan jawatannya.

Laman web www.micpolls2009.com menyebut Palanivel mendahului saingan dengan 51 peratus undi diikuti Subramaniam (37) dan Sothinathan dengan 12 peratus.

Laman web 'micfuture.blogspot.com' pula menyebut Palanivel memperolehi 55 peratus undi, Subramaniam (42) dan Sothinathan hanya tiga peratus.

Laman web www.micelections2009.com juga menunjukkan Palanivel menguasai 60.02 peratus, Subramaniam (37.75) dan Sothinathan hanya mampu mendapat 2.02 peratus undi.

Bagaimanapun, undian pada laman web www.micelection2009.com menunjukkan Subramaniam menerima 63 peratus berbanding Palanivel hanya 12.7 peratus dan Sothinathan 23.8 peratus.

Bagi tiga jawatan naib presiden pilihan Samy Vellu, Menteri Sumber Manusia dan setiausaha agung parti Datuk Dr S. Subramaniam mendahului dalam kesemua tiga laman web manakala 'micfuture2009.blogspot.com' tidak menjalankan undian bagi jawatan tersebut.

Jawatan naib presiden ditandingi oleh tujuh calon.

Selain Dr Subramanian, calon lain ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan, Datuk K.S.Balakrishnan dari Johor, Datuk V.K.K. Teagarajan (Kuala Lumpur), P. Subramaniam (Selangor) dan calon wanita P. Mariayee dari Negeri Sembilan.

Dr Subramaniam, Devamany dan Saravanan merupakan calon pilihan presiden.

Laman web 'micpolls2009.com' menyebut Dr Subramaniam memperolehi undian tertinggi iaitu 30 peratus, Devamany (23), Saravanan (20), Balakrishnan (18), Teagarajan (11), Subramaniam (6) dan Mariayee menerima tiga peratus undian.

Sementara itu, laman web 'micelections2009.com' telah meletak Dr Subramaniam sebagai pendahulu dengan 26 peratus undian, Devamany (24), Saravanan (23), Balakrishnan (22), Teagarajan (17), Subramaniam dan Mariayee masingmasing menerima undian di bawah satu peratus.

Dr Subramaniam memperoleh 63.4 peratus undi dalam laman web www.micelection2009.com diikuti Devamany dengan 60.9 peratus, Saravanan (34.8) Balakrishnan (31.7), Teagarajan (30.7), Subramaniam (19.2) dan 14.3 peratus bagi Mariayee.

Walaupun pelayar laman web yang menyertai undian itu telah membayangkan barisan kepimpinan masyarakat kaum India di negara ini namum hanya 1,464 perwakilan parti akan memutuskan nasib barisan pemimpin parti itu esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain