suria

Media Indonesia perlu elak fakta kurang tepat - NUJ

KUALA LUMPUR: Penyiaran fakta yang kurang tepat mengenai pelbagai isu yang kini mencetuskan kontroversi antara Malaysia dan Indonesia boleh dielakkan sekiranya media Indonesia mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) Norila Daud berkata mereka perlu lebih profesional dalam menjalankan tugas dan bukan hanya mendapatkan maklumat daripada negara mereka sahaja.

"Jadilah orang tengah. Jangan api-apikan (hubungan kedua-dua negara)," katanya semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekeliruan dan tuduhan yang dibuat media Indonesia kononnya kerajaan Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali untuk promosi pelancongan Malaysia dalam satu klip video.

Ketika ditanya mengenai cara media Malaysia melaporkan isu berkenaan, Norila berkata organisasi media di negara ini terikat dengan pelbagai akta dan undang-undang.

"Kita selalu berhati-hati mengenai hubungan dengan negaranegara lain dan tidaklah sampai menghangatkan orang itu sehingga berperang kerana our freedom is controlled (kebebasan kita dikawal) dan benda macam itu takkan terlepas," kata Norila.

Selain memainkan isu tarian Pendet, media Indonesia juga menyiarkan isu "sweeping Malaysia" iaitu usaha "menyapu bersih" rakyat Malaysia di Indonesia sama ada yang bekerja di situ atau masih menuntut.

Mereka yang menggelarkan diri sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) melakukan "sweeping" ke atas rakyat Malaysia dengan keluar ke jalan membawa buluh runcing dan memeriksa tanda pengenalan orang ramai yang melalui Jalan Diponegoro untuk mencari rakyat negara ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain