suria

Mat Rempit dihukum penjara 20 bulan denda RM8,000

SEREMBAN: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengenakan hukuman penjara 20 bulan dan denda RM8,000 terhadap seorang buruh setelah didapati bersalah terbabit dalam lumba motosikal haram di sini empat tahun lepas.

Majistret Mohd Aizuddin Zolkeply turut memerintahkan supaya lesen memandu tertuduh Jaini Jani, 26, dari Sikamat di sini digantung selama dua tahun mulai hari ini.

Dalam penghakimannya, beliau berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut kertas pertuduhan, Jaini didakwa terbabit dalam lumba motosikal haram di Persiaran Senawang di sini di antara lampu isyarat stesen minyak Esso hingga lampu isyarat Taman Matahari Height pada 1.20 pagi, 12 Feb 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda tidak melebihi RM15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Peguam tertuduh K. Indran dalam rayuannya berkata ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan beliau mempunyai isteri dan anak.

Pegawai pendakwa C/Insp Jusman Ahmad pula berkata pada tahun lepas sebanyak 76 kali operasi lumba haram dijalankan manakala tahun ini sehingga bulan ini sebanyak 83 kali operasi yang sama diadakan.

"Di sini menunjukkan peningkatan operasi lumba haram di mana penunggang motosikal didapati tidak serik. Dengan itu, saya memohon pada mahkamah supaya tertuduh dihukum paling maksimum sebagai pengajaran. Lumba haram bukan saja membuang masa tapi merugikan diri sendiri," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain