suria

Mahkamah buat keputusan terhadap arahan penggantungan Gobind 30 Sept ini

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat pada Mac tahun ini akan mengetahui sama ada beliau berjaya dalam usahanya untuk menarik balik arahan itu pada 30 Sept ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Ariff Md Yusof menetapkan tarikh itu selepas peguam Gobind, Karpal Singh dan Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi dan Amarjeet Singh menyelesaikan penghujahan mereka.

Dalam prosiding dua jam hari ini, penghujahan ditumpukan kepada dua kes undang-undang Mahkamah Persekutuan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan lain-lain menentang V.Sivakumar dan Pendakwa Raya menentang Kok Wah Kuan.

Karpal berhujah bahwa Mahkamah Tinggi tertakluk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan para anggota exconya di mana mahkamah tertinggi telah menarik balik arahan penggantungan setahun ke atas Zambry oleh Sivakumar, bekas Speaker Perak.

Beliau menegaskan bahawa dengan prinsip itu, Mahkamah Tinggi bolehmenarik balik arahan penggantungan ke atas Gobind.

Mengenai prinsip Pendakwa Raya menentang Koh Wah Kuan, yang menetapkan bahawa doktrin perasingan kuasa bukan merupakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun ia mempengaruhi kerangka Perlembagaan Malaysia, Karpal berkata dengan prinsip itu ia bermakna tidak terdapat perasingan kuasa dan oleh itu, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mengubah keputusan Dewan Rakyat.

Dalam kes Koh Wah Kuan, Mahkamah Rayuan membebaskan seorang kanak-kanak yang ditahan atas perkenan Sultan selepas dia didapati bersalah membunuh anak perempuan guru tuisyennya apabila Mahkamah Rayuan menetapkan bahawa Seksyen 92 (2) Akta Kanak-Kanak (seksyen yang memberikan kuasa untuk menahan seorang kanak-kanak yang disabitkan dengan pembunuhan atas perkenan Sultan) tidak mengikut perlembagaan kerana ia memberi kuasa kepada eksekutif untuk menjatuhkan hukuman ke atas seorang kanak-kanak yang disabitkan dalam pembunuhan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan Mahkamah Rayuan.

Karpal berkata keputusan itu sebenarnya mengejutkan dan tidak masuk akal. Beliau berkata keputusan itu bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 23 Jun tahun ini bahawa doktrin perasingan kuasa wujud di negara ini.

Karpal juga berkata usul penggantungan terhadap Gobind daripada melaksanakan tugasnya sebagai anggota Parlimen tidak sah kerana sebagai seorang Anggota Parlimen dia hanya boleh digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat dan bukan daripada menjalankan tugasnya sebagai seorang Anggota Parlimen.

Hujahnya adalah kerana tidak terdapat peruntukan dalam Peraturan tetap bagi hukuman penghinaan.

Gobind digantung oleh Dewan Rakyat daripada "tugasnya" sebagai Anggota Parlimen pada 16 Mac selepas beliau mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) terbabit dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Dalam samannya, Gobind, menuntut penggantungannya sebagai seorang Anggota Parlimen diisytiharkan tidak sah dan batal.

Gobind juga menuntut diisytiharkan yang beliau berhak kepada semua ganjaran dan elaun dan lainlain faedah yang diberikan kepada Anggota PArlimen mengikut Artikel 64 Perlembagaan Persekutuan.

Azizah memberitahu mahkamah bahawa tindakan Yang Dipertua Dewan dalam menggantung Gobind tidak boleh dipertikaikan kerana ia berlaku di dalam bidang kuasa badan perundangan.

Katanya berbanding dengan kes Zambry di mana ia berlaku di luar sidang parlimen, kes itu adalah jelas kerana ia berlaku di dalam Dewan Rakyat di mana terdapat satu usul, diundi dan diluluskan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain