suria

Kes culik anak datuk: bekas agen hartanah terlepas hukuman gantung

SHAH ALAM: Seorang bekas agen hartanah terlepas dari hukuman gantung sampai mati bagi tuduhan menculik anak seorang ahli perniagaan bergelar 'datuk', empat tahun lepas, setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan untuk meminda pertuduhan terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Sebaliknya Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman penjara ke atas tertuduh, L.Kesava Rau, 51, yang telah berada dalam reman selama empat tahun tiga bulan, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 April 2005 sehingga hari ini.

Menjelaskan mengenai hukuman yang dijatuhkan itu, Mohd Yazid berkata: "Setelah mengambil kira keseluruhan fakta mahkamah mendapati hukuman yang wajar terhadap tertuduh adalah enam tahun penjara.

"Tetapi memandangkan setiap hukuman penjara yang dijatuhkan akan diberi diskaun satu pertiga sedangkan tertuduh sudah berada dalam reman selama empat tahun tiga bulan, oleh itu saya menjatuhkan hukuman penjara ke atas tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 April 2005 sehingga hari ini," katanya.

Kesava Rau mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan iaitu bersamasama empat orang lagi yang masih bebas dengan maksud untuk menahan kanak-kanak lelaki yang ketika kejadian berumur sembilan tahun bagi mendapatkan wang tebusan RM850,000, telah menolong untuk mengabduksi, mengurung dan menahan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Seksyen 13 di sini, kirakira pukul 1 tengahari pada 1 April 2005 dan didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga disebat.

Kesava Rau sebelum ini dibicarakan atas tuduhan menculik kanak-kanak lelaki berkenaan mengikut Seksyen 3 Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun selepas 13 saksi pendakwaan selesai memberi keterangan, mahkamah memutuskan untuk meminda pertuduhan terhadap tertuduh hari ini.

Dalam penghakimannya Mohd Yazid berpendapat bahawa fakta kes adalah penting kerana berdasarkan keterangan semua saksi pendakwaan, tertuduh bukan antara tiga suspek yang masuk ke dalam rumah mangsa sebelum menculiknya.

Beliau berkata pakar tulisan semasa memberi keterangan mengesahkan bahawa catitan di nota yang meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa beberapa hari sebelum mangsa dibebaskan adalah tulisan tertuduh.

"Dalam tuduhan asal, kita mendapati peranan yang dimainkan oleh tertuduh (Kesava Rau) berdasarkan kepada keterangan saksi menyebabkan mahkamah mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap tertuduh.

"Dalam kebiasaan kes culik, kepentingan awam ialah faktor utama dalam mahkamah membuat keputusan tetapi pada masa sama ia perlu diimbangi dengan fakta kes yang ada.

"Fakta bahawa ayah tertuduh meninggal dunia diserang sakit jantung sebaik dimaklumkan pihak polis bahawa tertuduh terlibat dalam kes ini juga perlu diambil kira mahkamah dalam menjatuhkan hukuman," katanya.

Terdahulu, dalam rayuan untuk pengurangan hukuman, peguam S.S.Seelan yang mewakili Kesava Rau berkata sepanjang dalam tahanan reman anak guamnya telah insaf dan kesal dengan kesalahan yang dilakukan.

"Akibat daripada perbuatannya, bapanya telah meninggal dunia kerana serangan jantung sebaik dimakumkan oleh polis bahawa anaknya (Kesava Rau) ditangkap bersabit dengan kes culik. Ini adalah harga yang perlu dibayar tertuduh. Justeru pohon mahkamah jatuhkan hukuman yang munasabah agar tertuduh diberi peluang sekali lagi," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail pula berkata kesengsaraan yang dialami keluarga mangsa perlu diambil kira oleh mahkamah lebihlebih lagi bapa mangsa sanggup mengeluarkan wang yang banyak iaitu RM850,000 untuk membebaskan anaknya.

"Kes ini melibatkan banyak pihak kerana satu kesilapan yang dilakukan tertuduh banyak pihak terseksa. Pohon hukuman berat dijatuhkan dengan turut mengambil kira kepentingan awam," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain