suria

Kerajaan kaji laporan wanita Penan hadapi gangguan seksual

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengkaji dan mengambil tindakan berdasarkan cadangan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai gangguan seksual terhadap wanita Penan.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu berkata bagaimanpun beliau tidak ada menerima laporan mengenai perkara itu yang menjadi tatapan umum minggu ini, hasil penyiasatan yang membabitkan beberapa penempatan Penan, empat sekolah rendah dan menengah di daerah Baram, termasuk Long Item, Long Kawi, Long Luteng, Long Muboi dan Ba' Keluan sejak November tahun lepas.

"Kita tidak ada sebarang halangan, khasnya apa yang dianggap wajar termasuk kehakiman bagi mengambil tindakan tetapi setakat ini saya tidak nampak atau belum terima hasil penyiasatan kementerian itu," katanya yang juga Menteri yang mengendalikan Hal Ehwal Orang Penan kepada pemberita selepas pelancaran versi wajah baru Mitsubishi Triton di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu, termasuk mendokumentasikan sekurang-kurangnya lapan kes rogol dan cabul wanita dan perempuan Penan oleh pekerja balak dalam laporan tersebut, yang akan dirujuk kepada kerajaan negeri dan dibincangkan sebaik sahaja kita menerimanya.

Laporan itu, antara lain, cadangan pelantikan pemandu lori dan penolong pengurusan pelajar yang dipercayai untuk mengiringi kanak-kanak sekolah Penan balik ke kampungnya dan perlunya program kesedaran mengenai keselamatan diri, pelajaran seks dan keganasan terhadap wanita bagi menangani masalah itu.

Laporan itu juga mendapati orang Penan mempunyai sedikit akses dengan pendaftaran, penjagaan kesihatan dan pelajaran yang disebabkan kemiskinan dan penempatannya di kawasan pedalaman sementara ramai yang tidak mempunyai dokumen peribadi.

Orang Penan juga merasakan terpinggir kerana persepsi negatif dan prejudis terhadap mereka dan anakanaknya yang mencatatkan kadar keciciran yang tinggi di sekolah.

Jabu berkata kerajaan negeri bimbang mengenai kebajikan orang Penan kerana sebarang isu berkaitan, berkemungkinan besar akan dimanipulasi pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing.

Adalah tidak adil jika pertubuhan NGO seperti itu dan media asing mendominasi tiga peratus daripada kira-kira 16,281 orang Penan yang masih tinggal berpindah-randah di hutan untuk motif tertentu mereka sendiri.

"Kita tidak kisah jika laporan seimbang tetapi ada banyak pembohongan, kata Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri bahawa beliau telah mengendalikan orang Penan sejak 40 tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain