suria

Dua minit untuk larikan dulang emas

PETALING JAYA: Seorang perompak mengambil masa kurang daripada dua minit untuk melarikan satu setengah dulang barang kemas dari kedai emas Tomei di Tingkat Satu Pusat Membeli-belah One Utama di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi, suspek memasuki kedai emas itu dengan berlagak seperti seorang pelanggan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata suspek berjalan bersahaja tetapi kemudian mengacukan sepucuk pistol ke arah pekerja kedai.

"Suspek tidak melepaskan tembakan sebaliknya mengarahkan pekerja kedai memasukkan barang kemas ke dalam beg plastik yang dibawa," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata perompak yang berusia dalam lingkungan umur 20an dan memakai baju T serta berseluar jeans kemudian melarikan diri di celah-celah kesibukan orang ramai di pusat membeli-belah itu.

Arjunaidi berkata ketika kejadian tiada pelanggan di dalam kedai itu dan terdapat empat pekerja, manakala pengawal keselamatan kedai emas itu dikatakan ke tandas.

Katanya anggaran kerugian ialah kira-kira RM50,000 dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup di dalam kedai dan di sekitar kawasan pusat beli-belah terbabit.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain