suria

Ong yakin pasukan petugas kerajaan dapat selesaikan kemelut PKFZ

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas bagi mengkaji projek kontroversi Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) disambut baik oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat yang berharap panel itu akan dapat menyelesaikan kemelut itu.

"Bagi saya pengumuman dan langkah yang dijangka akan diambil oleh pasukan petugas peringkat tinggi ini tetap merupakan satu daya usaha lanjutan daripada apa yang telah kami usahakan sekian lama sejak Oktober lalu, melalui Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan kemudiannya panel petugas khas yang telahpun dilantik untuk menyiasat dan meneliti kelemahan-kelemahan projek PKFZ dan juga LPK," kata Ong.

Perkembangan itu menunjukkan kerajaan serius dan tegas dalam mencari penyelesaian, katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga-tenaga Isteri Menteri (BAKTI) kepada keluarga miskin di sini hari ini.

Perdana Menteri semalam mengumumkan pasukan petugas itu yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, para pegawai Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan selepas selepas isu PKFZ dibincangkan panjang lebar oleh Kabinet.

Ong yakin pasukan petugas kerajaan itu akan mencapai matlamatnya demi ketelusan dan kepentingan rakyat dan menggariskan kerajaan bukan sahaja prihatin, malah kerajaan bertindak tegas.

"Saya ingin katakan bahawa ini merupakan pusingan akhir bagi keseluruhan usaha yang bukan sahaja penting tetapi pada masa yang sama akan membantu menyelesaikannya," kata Ong.

Ditanya sama ada beliau dan kementeriannya akan melepas tangan mengenai isu itu, Ong berkata pegawai kementeriannya juga menganggotai pasukan petugas itu dan beliau sendiri tetap memberi kerjasama sepenuhnya walaupun tidak disenaraikan.

"Saya juga akan tetap berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan integriti dalam menyiasat dan menyelesaikan masalah. Sekiranya ia melibatkan wang pembayar cukai yang perlu kita berusaha menebus kembali, maka ia satusatunya tugasan kita untuk mendapatkannya," katanya.

Semalam, Perdana Menteri berkata pasukan petugas itu tidak diberikan tempoh masa untuk melaporkan balik kepada Kabinet tetapi para anggotanya sedar bahawa laporan itu perlu diselesaikan secepat mungkin.

Idea PKFZ itu diilhamkan kerajaan pada 1990an bagi menjadikannya sebuah hab pemindahan ke kapal yang dibina di atas tapak seluas 405 hektar yang menempatkan gudang, blok pejabat dan hotel bertaraf empat bintang, diselubungi kontroversi selepas didedahkan bahawa kos pembangunannya melambung tinggi daripada kos asalnya yang kurang dari RM2.5 bilion meningkat kepada RM4.6 bilion. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno adalah parti Islam, kata Najib

Artikel Berikut

Artikel Lain