suria

Lelaki ditahan bantu siasatan penghantaran syabu melalui kurier

KOTA KINABALU: Kastam Diraja Malaysia cawangan Sabah menahan seorang lelaki yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung penemuan enam bungkus plastik kecil dipercayai berisi syabu di premis sebuah syarikat penghantaran cepat di Likas, dekat sini hari ini.

Pengarah Kastam Negeri Sabah Datuk Yusop Mansor berkata lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 43 tahun itu ditangkap semasa dia mengambil kotak barang dipercayai berisi ubat-ubatan herba yang dikirim dari Semenanjung ke Kota Kinabalu.

Katanya selepas diperiksa, kotak barang berkenaan didapati turut memuatkan enam bungkusan kecil yang dipercayai syabu seberat 300gram dengan nilai pasaran sekitar RM100,000.

"Selepas menerima maklumat, pasukan pencegahan Kastam Kota Kinabalu pergi ke premis itu dan nampak sebuah kotak yang dipercayai berisi dadah. Mereka tunggu dekat tempat itu sehingga penerima datang menuntut kiriman barangan itu.

"Tidak lama kemudian, seorang lelaki datang ke syarikat itu dan mengambil barang tersebut sebelum ditahan anggota pencegahan kastam," katanya dalam satu kenyataan.

Yusop berkata lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno adalah parti Islam, kata Najib

Artikel Berikut

Artikel Lain