suria

“Saya tidak gentar dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin” - S. Subramaniam

KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam membidas keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu yang mahu merujuk beliau kepada Jawatankuasa Disiplin berhubung laporan dakwaan penipuan undi pada 1977 sambil menyifatkannya sebagai tindakan mahu menakutkan para perwakilan daripada mengundinya, Sabtu ini.

Bercakap dalam sidang media petang Rabu, Subramaniam berkata, beliau juga akan membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan tentang 'campur tangan keterlaluan' Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu dengan memihak calon-calon tertentu pada pemilihan kali ini.

"Selepas membaca kenyataan dalam akhbar hari ini tentang keputusan Jawatankuasa Disiplin dan kenyataan Samy Vellu, dan selepas berbincang dengan peguam saya, esok saya akan membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan agar melakukan sesuatu berhubung tindakan Samy Vellu yang berkempen macam calon dan melemparkan tuduhan-tuduhan liar terhadap saya sebagai calon Timbalan Presiden.

"Walaupun nama Samy Vellu tiada dalam senarai nama calon yang bertanding tetapi seolah-olah beliau bertindak sebagai calon yang keempat untuk jawatan Timbalan Presiden," kata beliau.

Sambil diiringi sekumpulan calon yang bertanding jawatan Naib Presiden dan CWC, Subramaniam yang juga bekas Timbalan Presiden sebelum tewas ditangan penyandang sekarang, Datuk G. Palanivel pada 2006 menambah, beliau sama sekali tidak gentar dengan keputusan CWC semalam yang akan merujuknya kepada Jawatankuasa Disiplin parti selepas pemilihan Sabtu ini.

Subramaniam berkata, keputusan itu bertujuan untuk menakutkan para perwakilan daripada mengundi beliau kali ini.

"Saya bersedia berhadapan dengan sesiapa saja, apa sahaja. Ini satu taktik kotor untuk menjejaskan peluang saya," katanya.

Subramaniam yang berusaha untuk mendapatkan kembali jawatan Timbalan Presiden MIC menghadapi cabaran tiga penjuru iaitu selain Palanivel beliau juga akan berhadapan dengan Datuk S. Sothinathan yang juga Naib Presiden MIC sekarang.

Bagaimanapun, Samy Vellu secara terbuka telah menyatakan sokongannya kepada Palanivel sebagaimana dilakukan tiga tahun lalu.

CWC yang bermesyuarat pagi semalam memutuskan untuk merujuk Subramaniam, 'musuh tradisi' Samy Vellu, kepada Jawatankuasa Disiplin dan untuk tujuan itu satu surat tunjuk sebab kemungkinan akan dikeluarkan minggu depan.

Samy Vellu yang mengumumkan sendiri keputusan itu semalam berkata, parti akan mengambil tindakan disiplin ke atas Subramaniam dan tindakan undang-undang terhadap bekas Naib Presiden MIC, Datuk V. Govindaraj berhubung laporan media yang memetik Govindaraj sebagai berkata, Samy memenangi pemilihan Timbalan Presiden MIC pada 1977 dengan taktik kotor.

Pada pemilihan itu, Samy Vellu menewaskan Subramaniam dengan perbezaan 26 undi sahaja.

Govindaraj mendakwa, beliau telah membawa 30 undi dalam poketnya ke bilik pengiraan undi, yang akhirnya membantu kemenangan Samy Vellu.

Subramaniam kemudiannya membuat kenyataan mengesahkan apa yang dinyatakan oleh Govindaraj dengan berkata "saya menyedari dakwaan tersebut."

Hari ini Subramaniam turut mempersoalkan rasional CWC mahu Jawatankuasa Disiplin hanya mengambil tindakan ke atasnya selepas pemilihan selesai.

Kata beliau, apa yang patut dilakukan oleh jawatankuasa itu ialah mengeluarkan surat tunjuk sebab menuntut penjelasan akan kedudukan sebenar termasuk kepada penyokong dan perwakilannya.

"Mengapa hendak tunggu sehingga minggu depan sehingga perwakilan menelefon bertanya apa sudah jadi. Mereka seolah-olah gelisah dengan perkembangan terbaru ini," kata Subramaniam sambil menambah, beliau hanya mengesahkan apa yang diperkatakan oleh Govindaraj kepadanya dan pada majlis-majlis umum mengenai isu itu sebelum ini.

"Saya hanya mengatakan Govindaraj pernah mengaku kepada saya tentang tindakannya itu, yang diberitahu lama selepas pemilihan 1977, dan saya telah pun memaafkan beliau. Itu saja," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau sudah menjangkakan tindakan seumpama itu, Subramaniam memberitahu, "setahu saya apa saja boleh berlaku. Saya boleh menjangkakan apa saja apabila Presiden sendiri turun berkempen secara berterus-terang untuk calon tertentu sahaja."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain