suria

Polis Machang rampas mercun dan bunga api pelbagai jenis

MACHANG: Polis daerah Machang merampas sembilan bungkusan plastik mercun dan bunga api yang bernilai kira-kira RM3,000 dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Pertok 2, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Machang DSP Malek Bedot berkata pemilik pacuan empat roda itu terus lari meninggalkan kenderaannya semasa kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan dekat sebuah ladang getah di Kampung Pertok pada kirakira pukul 8.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan polis menemui sembilan plastik mercun dan bunga api yang diletakkan di tempat duduk belakang dan ditutup dengan tikar," katanya kepada pemberita di sini semalam.

"Ia terdiri daripada 11 jenis mercun dan bunga api pelbagai jenis seperti mercun botol, mercun roket, bunga api fire rose, mercun bola dan banyak lagi," tambahnya.

Malek berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, dan polis sedang berusaha mengesan pemandu kenderaan itu yang sudah dikenal pasti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain