suria

MB terima siapa sahaja calon daripada Umno Telok Kemang

SEREMBAN: Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau menerima manamana calon Umno yang akan dicalonkan oleh Umno Bahagian Telok Kemang untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Beliau berkata nama calon dijangka diperoleh esok setelah Umno Bahagian Telok Kemang bermesyuarat pada petang dan Perhubungan Umno Negeri juga mengadakan mesyuarat pada hari yang sama.

"Senarai nama saya tunggu daripada Umno dan Barisan Nasional Telok Kemang yang akan bermesyuarat esok, kita akan terima senarai, saya akan serahkan apa yang akan diberi kepada pusat dan pada saya tidak ada niat di peringkat perhubungan untuk pinda meminda," katanya selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor,54 daripada Barisan Nasional (BN) Jumaat lepas akibat jangkitan kuman dalam darah.

Pada mesyuarat exco itu juga, Mohamad memutuskan supaya Pusat Khidmat Masyarakat BN di Bagan Pinang dikendalikan secara bergilir-gilir oleh Exco kerajaan negeri.

Mohamad berkata pusat khidmat ini dibuka seperti biasa setiap hari selama dua jam dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan dari pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Beliau berkata jadual kerja yang akan bermula pada Isnin ini membolehkan BN memberikan perkhidmatan terus menerus kepada orang ramai walaupun wakil rakyat mereka tidak ada.

Sementara itu Menteri Besar tersebut juga meminta masyarakat Cina dan India yang bakal menyumbang undi antara 1,500 dan 2,000 untuk terus menyokong kerajaan pimpinannya yang kini rancak dengan pelbagai agenda ekonomi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain