suria

Kontroversi M'sia-Indon: Menteri Luar akan temui rakan sejawatannya

PETALING JAYA: Menteri Luar, Datuk Anifah Aman akan bertemu rakan sejawatannya dari Indonesia, Hasan Wirajuda Khamis depan berikutan laporan wujudnya "skuad rukun tetangga" yang cuba menahan rakyat Malaysia ekoran kemarahan yang membuak-buak di Indonesia yang tidak gembira dengan Malaysia berhubung beberapa isu.

Pertemuan di Jakarta itu akan berlangsung selepas akhbar-akhbar melaporkan sekumpulan rakyat Indonesia mengancam rakyat Malaysia menggunakan buluh runcing di Jalan Diponegoro di bandaraya itu semalam.

Anifah memberitahu The Star, Kabinet telah membincangkan perkara itu hari ini dan beliau telah diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menguruskan isu tersebut.

"Apabila saya bertemu dengan rakan sejawatan saya dari Indonesia, saya akan melahirkan kebimbangan Malaysia dan untuk memastikan supaya pihak berkuasa Indonesia menjamin keselamatan rakyat Malaysia di sana," katanya ketika dihubungi di Putrajaya.

Anifah berkata, beliau juga akan bertemu dengan duta Indonesia di Malaysia, Da’i Bachtiar.

Beberapa kumpulan di Indonesia telah menunjukkan rasa marah mereka dengan melakukan demonstrasi di hadapan kedutaan Malaysia di Jakarta hampir setiap hari sejak beberapa minggu kebelakangan ini termasuk dengan membaling telur busuk minggu lalu selepas Malaysia dituduh mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali sebagai tarian Malaysia dalam satu program promosi Malaysia yang disiarkan di saluran Discovery Channel.

Saluran itu bagaimanapun telah mengaku ia merupakan satu kesilapan dipihak mereka dan bukannya kesalahan kerajaan Malaysia. Malaysia sebelum ini telah beberapa kali dituduh mencuri kebudayaan Indonesia termasuk tarian lagu barongan, batik, rasa sayang dan baru-baru ini, lagu kebangsaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain