suria

Jangan gembar-gemburkan masalah dalaman Umno Terengganu, kata Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Semua pihak diharapkan tidak menggembargemburkan isu kemelut dalaman Umno di Terengganu, sebaliknya memberikan tumpuan kepada usaha mengukuhkan kedudukan Umno Terengganu, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata masalah Umno di negeri itu hampir selesai selepas perbincangan secara bersemuka diadakan antara pemimpin dan anggota Umno Terengganu.

"Semasa saya turun di Setiu barubaru ini kami berbincang untuk mencari jalan penyelesaian. Isu (konflik) ini agak peribadi dan memerlukan tumpuan saya, juga secara peribadi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini semalam.

Kemelut politik di Terengganu timbul selepas beberapa pihak tidak merestui pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh selepas pilihanraya Umum ke12 yang lepas.

Hishammuddin berkata semua pihak sepatutnya tidak menuding jari sesama sendiri tetapi harus memberi tumpuan kepada agenda yang lebih besar, termasuk untuk meningkatkan kepercayaan rakyat kepada parti.

"Walaupun masalah ini tidak seratus peratus selesai, kami akan meneruskan agenda untuk mendekati rakyat supaya lebih yakin terhadap parti. Langkah ini secara tidak langsung membolehkan kita mengetahui apa yang terbuku di hati rakyat," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain