suria

PAS

PETALING JAYA: Kesediaan Umno untuk mengadakan rundingan dengan PAS demi kepentingan umat Islam dan rakyat di negara ini mendapat pandangan berbeza daripada pemimpin PAS.

Bagi Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi, beliau menyambut baik hasrat berkenaan namun berharap Umno benar-benar ikhlas tanpa mempunyai maksud yang terselindung.

"Dalam Islam sememangnya kita dituntut untuk mengadakan perbincangan demi menyelesaikan pelbagai perkara yang boleh membawa kepada kebaikan.

"Tapi walaubagaimanapun kita berharap Umno ikhlas dengan hasrat mereka itu, jangan pula ada maksud yang tersembunyi untuk kepentingan politik... ataupun untuk raih sokongan menghadapi pilihan raya," katanya kepada mStar Online.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Umno bersedia untuk berunding dan mengadakan perbincangan dengan PAS demi membangunkan umat Islam.

Beliau yang juga presiden Umno bagaimanapun melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan yang menghina orang Umno.

Tambah Nasarudin, beliau percaya hanya melalui perbincangan dan rundingan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang wujud di kalangan umat Islam dan rakyat di negara ini secara keseluruhannya.

"Saya percaya semua masalah dapat diselesaikan dengan perbincangan, sebab itu kita bersikap terbuka tentang soal ini...itu yang terbaik," katanya.

Ditanya sama ada keterbukaan PAS untuk mengadakan perbincangan dan rundingan dengan Umno akan mengundang reaksi negatif daripada rakan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nasarudin berkata mereka seharusnya akan menyokong jika ia membawa kebaikan kepada rakyat.

"Jika hasilnya nanti untuk kebaikan umat Islam dan negara, mereka sepatutnya akan terus menyokong walaupun perbincangan ini hanya melibatkan PAS dan Umno.

"Dalam soal kebaikan semua pihak perlu akur, kita harus tahu bezakan antara kepentingan politik dan juga kepentingan umat Islam dan rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub melahirkan pandangan berbeza berhubung pelawaan Umno itu.

Menurut beliau parti itu tidak mahu terperangkap dalam retorik kononya mahu mengadakan perbincangan antara kedua-dua parti demi kepentingan ummah dan Islam di negara ini.

Sebaliknya beliau berkata Najib perlu membuktikan bahawa beliau merupakan Perdana Menteri untuk semua rakyat dengan menunaikan janji-janji untuk menyalurkan bantuan tanpa mengira fahaman politik.

"Bagi PAS kami tidak mahu lagi mendengar retorik-retorik seumpama itu yang sering diperkatakan beliau.

"Isu yang perlu diberi perhatian sekarang bukan isu perbincangan antara dua parti, tapi sebaliknya Perdana Menteri perlu memberi tumpuan kepada pembangunan untuk rakyat selaras dengan konsep 1Malaysia yang dibawanya," katanya.

Artikel Berikut

306 murid positif dadah

Artikel Lain