suria

OKU pecah kereta, curi pemain audio ditahan

PULAU PINANG: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan polis selepas memecahkan dua kereta dan mencuri pemain audio kenderaan berkenaan di kawasan tempat letak kereta sebuah perumahan di Pulau Tikus awal pagi Isnin.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata lelaki berkerusi roda berusia 27 tahun itu berjaya ditahan kira-kira pukul 3 pagi.

"Lelaki cacat di bahagian kaki itu dipercayai memecahkan cermin kereta jenis Kelisa dan Wira dengan seketul batu sebelum bertindak mencuri pemain audio kenderaan berkenaan.

"Tindakan lelaki berasal dari Tanjung Bungah dilihat oleh orang awam yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Katanya polis yang sampai ditempat kejadian berjaya menahan lelaki yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama beberapa barang yang dicurinya.

"Ketika polis sampai, lelaki berkenaan berada di luar kereta bersama beberapa barang yang dicurinya antaranya pemain audio, sejumlah wang tunai dan pemutar skru," katanya.

Tun Hisan berkata lelaki yang belum berkahwin itu juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan curi.

Katanya lelaki berkenaan kini direman sehingga esok dan kes itu disiasat menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Polis sedang menyiasat sama ada lelaki berkenaan di bantu oleh pihak lain kerana dengan berkerusi roda bagaimana dia boleh berada ditempat kejadian sedangkan jarak antara rumahnya dengan kawasan itu agak jauh," katanya.

Beliau berterima kasih kepada orang awam yang memaklumkan kejadian berkenaan dan berharap usaha seperti itu berterusan supaya kegiatan jenayah dapat dibendung.

Sementara itu, Tun Hisan berkata polis berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 21 dan 25 tahun di Bukit Minyak dekat sini pada Ahad lepas selepas kumpulan terbabit meragut seorang wanita di kawasan berkenaan.

"Kesemua mereka yang tidak bekerja itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi selepas orang awam yang melihat kejadian ragut berkenaan memaklumkan kepada pihak polis.

"Hasil tindakan pantas polis, mereka yang menaiki dua motosikal tidak sempat pergi jauh dan berjaya ditahan oleh anggota kita," katanya.

Katanya dengan penahanan tiga lelaki itu, polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes ragut di sekitar Seberang Perai Tengah dan polis kini sedang memburu dua lelaki lain yang merupakan anggota kumpulan berkenaan.

Beliau berkata modus operandi kumpulan berkenaan ialah menjalankan kegiatan ragut di persimpangan lampu isyarat dan tepi jalan di siang hari.

"Ketiga-tiga lelaki berkenaan kini direman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya sepanjang tahun ini, polis berjaya menahan 52 orang dan menyesaikan 297 kes ragut di negeri ini. BERNAMA

Artikel Berikut

306 murid positif dadah

Artikel Lain