suria

Hantar tandatangan dulu sebelum pertemuan bersama

KUALA LUMPUR: Penyokong timbalan presiden MCA yang dipecat Datuk Seri Dr Chua Soi Lek diharap mengemukakan dengan segera senarai tandatangan satu pertiga daripada perwakilan dan sebab mesyuarat agung luar biasa (EGM) perlu diadakan.

"Lagi cepat penuhi syarat, lagi bagus, lagi cepat saya boleh aturkan perbincangan kedua-dua pihak," kata Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) William F. Shija di sini Selasa.

"Apabila kedua-dua kehendak ini dipenuhi maka saya akan memanggil dua pihak iaitu wakil daripada Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat dan satu lagi (penyokong Dr Chua) yang memohon untuk diadakan EGM supaya dapat berbincang mengenai resolusi dan bagaimana kita hendak kendalikan EGM itu," kata beliau.

Wong yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata beliau sekali lagi meminta mana-mana pihak yang mencadangkan untuk mengadakan EGM supaya mematuhi peruntukan dalam perlembagaan parti.

Ong juga telah mengarahkan Wong supaya diadakan EGM berikutan pemecatan Dr Chua kerana mencemarkan imej parti dengan pembabitannya dalam skandal seks DVD.

Dr Chua mendakwa telah memperoleh lebih 800 tandatangan yang membolehkannya mengadakan EGM di mana penyokong bekas Menteri Kesihatan itu mahu keputusan memecat beliau ditarikbalik dan menerimanya semula.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa perwakilan pusat parti itu supaya melaporkan sebarang perlakuan politik wang menjelang EGM yang dijadual berlangsung sebelum 30 September ini.

Liow, yang juga Menteri Kesihatan, berkata sekiranya ada bukti, perwakilan mesti melaporkannya kepada lembaga disiplin parti supaya tindakan dapat diambil.

Beliau turut menasihati perwakilan supaya sentiasa mendukung integriti bagi melindungi kepentingan parti.

"Saya menggesa semua anggota supaya tampil bagi melindungi dan membantu memperkukuhkan parti. Kita tidak boleh membiarkan politik wang memusnahkan parti," katanya kepada pemberita selepas menutup bengkel media mengenai Influenza A(H1N1) di sini pada Selasa.

Jumaat lepas, Wong berkata beliau menerima banyak aduan berhubung politik wang bagi mendapatkan tandatangan perwakilan pusat untuk mengadakan EGM itu.

Wong berkata perkara itu mesti disiasat dengan teliti oleh kepimpinan MCA. BERNAMA

Artikel Berikut

306 murid positif dadah

Artikel Lain