suria

Calon tidak direstui Samy gesa larangan kempen dikaji semula

KUALA LUMPUR: Barisan calon pemilihan MIC yang tidak direstui Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu, semalam menggesa agar larangan had tempoh berkempen 12 tengah hari Jumaat ini, yang dikuatkuasakan buat kali pertama, dikaji semula.

Seramai 25 daripada 36 calon barisan calon berkenaan, yang bertanding kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) mahu Jawatankuasa Pemilihan mengekalkan peraturan yang telah diguna pakai selama ini iaitu tempoh berkempen hanya berakhir 12 tengah malam menjelang hari pemilihan.

"Kami telah menyerahkan memorandum berkaitan perkara ini kepada Jawatankuasa Pemilihan pada pukul 12.30 tengah hari tadi dan satu salinan juga telah dikemukakan kepada Presiden parti hari ini... Presiden parti (secara kebetulan) ada di pejabat beliau dan kami menyerahkan kepadanya satu salinan," kata jurucakap calon-calon berkenaan, S.P. Manivasagam pada sidang media tengah hari semalam.

Memorandum tersebut ditandatangani oleh 25 calon berkenaan dan sebahagian besar daripada mereka hadiri sidang media itu.

Katanya, Jawatankuasa Pemilihan telah mengeluarkan surat berkaitan mengehadkan tempoh berkempen - yang perlu dihentikan 12 tengah hari Jumaat ini, baru-baru ini.

Pemilihan diadakan Sabtu ini sempena Perhimpunan Agung Tahunan Ke-63.

Seramai 65 orang bertanding merebut 25 kerusi CWC. Tujuh bertanding tiga kerusi Naib Presiden manakala tiga orang mencuba nasib jawatan Timbalan Presiden.

Samy Vellu telah mengisytiharkan calon rasmi pilihan beliau bagi kesemua jawatan yang dipertandingkan.

Mengulas lanjut pendirian pihaknya, Manivasagam memberitahu, adalah wajar tempoh berkempen yang diamalkan selama ini dikekalkan kali ini.

Selain peraturan seumpama itu sedia digunakan dalam pilihan raya umum negara ini, kata Manivasagam, pihaknya berpendapat kaedah tersebut sewajarnya dikekalkan memandangkan kebanyakan perwakilan hanya akan tiba di ibu negara menjelang lewat petang atau sebelah malam.

Oleh itu, katanya, pihaknya berpendapat mereka wajar diberikan masa untuk menemui perwakilan-perwakilan tersebut.

"Kami merasakan tempoh 12 tengah malam adalah wajar, ia harus dikekalkan... kami berharap Jawatankuasa Pemilihan akan menerima syor kami," katanya.

"Malah, seperti lazim Presiden parti akan menganjurkan jamuan untuk para perwakilan pada malam menjelang hari pemilihan dan hari pertama perhimpunan agung tahunan.

"Lazimnya, ia (majlis jamuan makan malam) akan digunakan sebagai platform berkempen... oleh platform itu seharusnya dibuka kepada semua seperti yang diamalkan sebelum ini," katanya lagi.

Jamuan ini biasanya akan berakhir 11 malam.

Selain isu itu, mereka juga meminta Jawatankuasa Pemilihan mempertimbangkan perkara-perkara berikut:

- Mengehadkan petak tempat mengundi bagi mengelakkan unsur-unsur tidak diingini

- Menyediakan peralatan CCTV bagi mengawasi proses pengundian tanpa menjejaskan kerahsiaan undi

- Mengumumkan bilangan meja tempat mengira undi

- Menetapkan bilangan ejen calon mengikut kadar meja tempat mengira undi

- Membenarkan ejen-ejen calon berada di dewan tempat mengira undi

- Membenarkan kiraan semula undi jika perbezaan undi adalah kurang daripada 100

Artikel Berikut

306 murid positif dadah

Artikel Lain