suria

Polis tahan 5 lelaki terlibat proses, edar dadah

JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah apabila menahan lima lelaki termasuk seorang rakyat Singapura dalam empat serbuan di sekitar bandar raya ini mulai Selasa hingga Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata polis merampas pelbagai jenis dadah, wang tunai dan kenderaan yang kesemuanya bernilai RM1 juta, dalam serbuan di empat rumah di Jalan Kebun Teh, Pangsapuri Skudai Villa, Taman Universiti dan Pangsapuri Kip Park itu.

"Dadah yang dirampas membabitkan 4.53 kg heroin, 6.51 kg serbuk dipercayai ecstasy, 3,744 biji pil ecstasy dan 240 gram syabu. Polis turut menemui pelbagai peralatan memproses dan mencetak pil ecstasy," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata wang tunai yang dirampas melibatkan RM53,950, S$17,000 dan Rupiah 7.9 juta manakala kenderaan pula melibatkan dua kereta dan sebuah motosikal.

Beliau berkata kejayaan menumpaskan sindiket itu hasil penahanan seorang lelaki Singapura dan seorang lelaki tempatan di sebuah rumah di Jalan Kebun Teh pada Selasa sebelum menahan tiga lagi lelaki dan merampas pelbagai dadah dalam tiga serbuan susulan.

Mohd Mokhtar berkata sindiket yang dipercayai beroperasi sejak Oktober tahun lepas itu disyaki memasarkan dadah mereka di sekitar bandaraya ini, Batam dan Tanjung Balai, Indonesia serta Singapura.

Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan itu berumur antara 36 dan 53 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain