suria

Notis kekosongan kerusi Bagan Pinang dikemuka kepada SPR

SEREMBAN: Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor berkata notis mengenai kekosongan kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tengah hari tadi.

Katanya notis berkenaan diserah di pejabat SPR di Putrajaya.

"Notis dihantar terus ke pejabat SPR Putrajaya lewat tengah hari ini, selepas diterima Sijil Kematian bekas Ahli DUN Bagan Pinang, Allahyarham Azman Mohammad Nor daripada Pejabat Pendaftaran Port Dickson," katanya kepada Bernama.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian Azman pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Azman yang mewakili Barisan Nasional menang di kawasan tersebut dengan memperolehi undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah berkata SPR akan bermesyuarat Isnin depan dan mengumumkan tarikh bagi pilihan raya kecil kawasan tersebut pada hari yang sama. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain