McDonald's mn McCurry: Mahkamah arah McDonald's susun semula soalan - Semasa | mStar

McDonald's mn McCurry: Mahkamah arah McDonald's susun semula soalan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan permohonan McDonald's Corporation bagi merayu ke atas pendapat Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan awalan 'Mc' bagi membolehkan McDonald's menyusun semula soalan dari segi undang-undang.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang mengetuai panel dengan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk James Foong mengarahkan peguam bela S.F.Wong yang mewakili McDonald's supaya menyusun semula soalan berdasarkan kepada pendapat Mahkamah Rayuan.

Hakim Arifin berkata mahkamah tidak berapa jelas mengenai soalan yang dibangkitkan oleh Wong dan ia disokong oleh peguam bela Sri Dev Nair yang mewakili McCurry Restaurant (KL) Sdn Bhd, sebuah outlet makanan India tempatan, bahawa sesetengah soalan yang dikemukakan Wong dalam hujahnya hari ini, tidak dibangkitkan pada penghakiman Mahkamah Rayuan.

Rangkaian makanan segera McDonald's memfailkan permohonan semakan bagi rayuan selepas kalah berhubung hak eksklusifnya bagi penggunaan awalan 'Mc' apabila pada 29 April, Mahkamah Rayuan membenarkan McCurry Restaurant, di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, untuk menggunakan 'Mc' dalam papan tanda perniagaannya.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa adalah satu kesilapan untuk membuat andaian bahawa McDonald's memegang monopoli dalam penggunaan awalan 'Mc' pada papan tanda atau dalam menjalankan perniagaan dan inferens kukuh yang boleh diambil daripada keseluruhan bukti ialah papan tanda McCurry Restaurant tidak akan menyebabkan seseorang yang berfikiran munasabah mengaitkan McCurry dengan tanda perniagaan McDonald's.

Dalam mengubah keputusan Mahkamah Tinggi, ia juga menetapkan bahawa papan tanda McCurry Restaurant adalah berbeza dengan McDonald's dan tiada senarai makanan pada kad menu di McCurry Restaurant membawa awalan 'Mc' tidak seperti senarai makanan yang terdapat di McDonald's.

Pada 7 Sept 2006, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan bahawa McDonald's, jenama yang menjadi sebutan ramai di kalangan kanak-kanak, mempunyai hak eksklusif kepada awalan 'Mc' dan mengarahkan Restoran McCurry membayar ganti rugi kepada McDonald's Corporation, pemilik rangkaian restoran McDonald's.

Dalam tuntutannya, McDonald's mendakwa penggunaan huruf awalan "Mc" bersama-sama dengan perkataan "Curry", McCurry Restaurant, yang sebelum ini dikenali sebagai Restoran Penang Curry House (KL) Sdn Bhd, telah salah representasi dirinya sebagai mempunyai kaitan dengan perniagaan McDonald's.

Dalam pembelaannya, McCurry Restaurant, menegaskan bahawa McDonald's tidak boleh menuntut monopoli atau hak eksklusif bagi menggunakan huruf awalan 'Mc', kerana awalan itu digunakan dengan meluas di seluruh dunia sebagai nama keluarga terutamanya oleh orang yang berasal dari Scotland. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

Artikel Lain