suria

Kerajaan Selangor cadang Seksyen 23 tapak baru kuil

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini memilih satu kawasan di Seksyen 23 di sini untuk dicadangkan sebagai tapak baru bagi memindahkan Kuil Sri Maha Mariamman di Seksyen 19.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim , Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail, Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, Datuk Bandar Shah Alam Mazalan Md Noor dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Othman Omar turun padang hari ini meninjau lokasi pemindahan kuil itu.

"Hasil tinjauan Kerajaan Negeri ke Sekyen 18, 19, 20 dan 23 Shah Alam, sebuah lokasi yang terletak di dalam kawasan Seksyen 23 dicadangkan sebagai tapak baru pembinaan kuil untuk menggantikan Kuil Sri Maha Mariamman Seksyen 19," kata kerajaan negeri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kerajaan negeri akan memaklumkan dan mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Seksyen 19 mengenai tapak baru tersebut. Sebelum ini, cadangan untuk memindahkah kuil itu ke sebuah tapak kawasan industri di Jalan Dividen 23/6 di Seksyen 23 dibantah penduduk sehingga mencetuskan tunjuk perasaan di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 28 Ogos lepas yang dicemari dengan insiden mengarak kepala lembu.

Pada sesi dialog bersama penduduk Sabtu lepas, Menteri Besar akur untuk menangguhkan cadangan pemindahan kuil itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain