Curi alat tulis: Pekerja pasar borong didenda - Semasa | mStar

Curi alat tulis: Pekerja pasar borong didenda

KUALA LUMPUR: Akibat mencuri pelbagai jenis peralatan menulis dan mewarna di sebuah pasaraya empat bulan lalu, seorang pekerja pasar borong dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Aizatul Akmal Maharani menetapkan hukuman penjara bermula hari ini setelah Chan Kum Hong, 45, mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Chan didakwa mencuri 29 unit highlighter, 50 unit pensil warna dan 87 pen marker bernilai RM906.80 di pasaraya Jusco, Midvalley, Megamall di sini pada pukul 2.45 petang 12 Mei lepas.

Bagi kesalahan tersebut dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Jamilah Abdul Manap manakala Chan tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain