suria

Suami kelar leher sendiri setelah lihat isteri meninggal dunia

KUCHING: Kasihnya kepada isteri mendorong seorang lelaki mengelar leher sendiri setelah menyedari isteri kesayangannya meninggal dunia secara mengejut di rumah pangsa mereka di Jalan Arang di sini hari ini.

Lelaki berusia 52 tahun itu, seorang penganggur, mengelar leher dan dahinya dengan parang apabila menyedari isteri kesayangannya yang berusia 46 tahun meninggal dunia di atas katil, kira-kira 6 pagi.

Bagaimanapun, kerana tidak tahan menanggung kesakitan, lelaki tersebut yang identiti tidak didedahkan, menghubungi ibunya yang tinggal di Jalan Chawan untuk meminta bantuan dan setelah menerima panggilan daripada mangsa, ibunya terus menghubungi saudara mangsa untuk meminta pertolongan memanggil ambulans dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

Lelaki tersebut berjaya diselamatkan setelah diberi rawatan kecemasan di tempat kejadian dan dibawa ke HUS untuk menerima rawatan susulan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Pauzi Bujang yang dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata lelaki berkenaan kini berada dalam keadaan stabil.

Polis mengklasifikasikan kematian wanita itu sebagai kematian secara mengejut manakala suaminya pula akan disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh diri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain