suria

Kemelut dalaman boleh diselesaikan secara pebincangan - Mustapa

JELI: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Mustapa Mohamed berkata kemelut seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno di Pulau Pinang yang mengugut untuk tarik diri boleh diselesaikan secara perbincangan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu berkata Umno negeri dan Adun tersebut perlu mengadakan perbincangan secara bersemuka bagi menyelesaikan sebarang masalah dan bukannya melalui kaedah ugutan dan mengambil tindakan drastik yang boleh menjejaskan parti.

"Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan, apa yang penting apabila kita mengadakan perbincangan pasti akan wujud tolak ansur dalam isu berkenaan daripada keduadua belah pihak.

"Sekarang ini pula adalah bulan Ramadan iaitu bulan berpuasa dan kita mesti lebih banyak bersabar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis agihan bantuan zakat kepada 1,500 anak yatim dan ibu tunggal di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai kekecewaan dan rasa tidak puas hati seorang Adun daripada Umno di Pulau Pinang dengan layanan diterima daripada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) yang dianggapnya tidak adil dan terasa dipinggirkan.

Adun itu dilaporkan sebagai berkata jika tiada pilihan lain dan keadaan masih tidak berubah, beliau nekad untuk mengosongkan kerusi dengan meletakkan jawatan sebagai Adun kerana tidak mahu terus dipersalahkan oleh penduduk yang menganggapnya tidak mampu buat kerja dan membantu mereka.

Mustapa berkata masalah yang wujud di Pulau Pinang itu boleh ditangani dengan kesabaran dan ikhlas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain