suria

Dua ditahan, 40,000 keping DVD cetak rompak dirampas

PETALING JAYA: Tindakan nekad dua lelaki yang sanggup meniti tingkap sebuah bilik di tingkat 20 sebuah apartmen di sini bagi melarikan diri dari ditahan pihak berkuasa tidak berbaloi apabila mereka ditahan kemudiannya.

Mereka yang berusia 36 dan 40 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 petang semalam.

Pihak Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu bilik berkenaan yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan DVD cetak rompak sejak tiga tahun lalu.

Kira-kira 40,000 keping DVD cetak rompak di dalam bilik itu telah dirampas.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya, Firdus Zakaria berkata semasa serbuan, suspek enggan membuka pintu dan para anggota KPDNKK terpaksa bertindak memecah pintu bilik tersebut.

"Hampir sejam kita berusaha pecahkan pintu itu. Selepas berjaya masuk, suspek sudah melarikan diri dengan keluar melalui tingkap bilik dan meniti di luar tingkap lalu keluar melalui sebuah bilik lain," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata bagaimanapun pihaknya berjaya menahan keduadua lelaki itu berhampiran lif selepas dimaklumkan oleh penghuni bilik tersebut.

Katanya dipercayai terdapat lebih daripada dua orang yang sedang melakukan kerja-kerja pembungkusan DVD di dalam bilik itu, namun yang lain berjaya melarikan diri.

"Pengedarpengedar dipercayai akan datang mengambil DVD yang telah di bungkus ini pada setiap awal pagi di kawasan tempat letak kereta apartmen ini.

"Berdasarkan rekod, terdapat kira-kira 30 pengedar DVD cetak rompak di sekitar Lembah Klang dengan anggaran pendapatan mereka kira-kira RM2,000 sehari," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain