suria

RM28 juta untuk bina kuarters baru JKR - PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM28 juta diperuntukkan bagi membina kuarters baru untuk menempatkan kira-kira 120 keluarga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang kini menetap di kuarters sedia ada yang uzur di Batu 2 1/2, Cheras di sini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menghabiskan masa kira-kira setengah jam membuat tinjauan mesra di kuarters berkenaan.

"Barubaru ini Yang Berhormat Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman (Abu Mansor) telah memaklum kepada saya tentang kedudukan kakitangan JKR yang tinggal di dalam kuarters yang begitu buruk dan terhimpit kedudukan mereka.

"Oleh itu, beliau mencadangkan supaya saya membuat tinjauan pada hari ini untuk melihat sendiri akan keadaan yang terpaksa dilalui oleh kakitangan JKR.

"Sukacita saya maklumkan bahawa berdasarkan keperluan dan keprihatinan kerajaan untuk mengatasi masalah perumahan untuk kakitangan kerajaan pada amnya dan khususnya untuk kakitangan JKR, maka tindakan segera akan diambil untuk membangunkan semula kuarters baru di kawasan Batu 4 1/2, Jalan Sungai Besi yang melibatkan 120 unit kelas G," katanya kepada pemberita.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pembinaan kuarters baru itu membabitkan dua blok setinggi lapan tingkat dengan setiap unit mempunyai keluasan 110 meter persegi, tiga bilik tidur, tiga bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur.

Selain itu, kuarters baru itu juga akan dilengkapi dengan 200 tempat letak kereta, taman permainan, tadika, surau dan dua gelanggang futsal.

"Anggaran projek baru ini ialah RM28 juta. Pihak JKR akan memanggil tender dalam sedikit masa lagi," katanya dan menurutnya projek itu dijangka siap dalam masa 30 bulan.

Perdana Menteri berkata ini sebagai tanda keprihatinan dan kesungguhan kerajaan untuk terus membela semua rakyat Malaysia terutama sekali mereka yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan golongan berpendapatan rendah.

Mengenai kuarters sedia ada, Najib berkata, ia akan dirobohkan selepas penghuni berpindah ke tempat baru.

Menyentuh mengenai keadaan kuarters berusia lebih 30 tahun itu, Perdana Menteri berkata separuh daripadanya hanya mempunyai satu bilik sahaja yang kemudian ditambah sendiri oleh penghuni.

"Memang keadaannya sangat daif dan tidak sesuai lagi...JKR, dia buat bangunan dan jalan raya yang cantik untuk orang lain tetapi kakitangan dia tertinggal sikit".

Najib juga berkata beliau akan meneruskan tinjauan mesra ke tempat-tempat lain.

"Ini adalah pendekatan yang saya lihat amat sesuai dan bila saya buat tinjauan mesra ini, ia tidak terhad kepada melihat peniaga kecil ataupun bagi orang biasa tetapi melibatkan kakitangan kerajaan juga," katanya.

Sementara itu, Shaziman berkata beliau mencadangkan Perdana Menteri melawat kuarters itu kerana prihatin dengan kesusahan yang dialami oleh kakitangan JKR. BERNAMA

Artikel Lain