suria

Pengalaman pilihan raya kecil lepas perlu dijadikan iktibar - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu menjadikan pengalaman yang diperoleh pada pilihan raya kecil sebelum ini sebagai iktibar bagi melakukan yang terbaik pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan nanti.

"Kita dah ada banyak pengalaman dan pada kali ini, kerusi ini kerusi kita (Barisan Nasional), kerusi yang kita pertahankan, kita jadi juara bertahan dan kita akan buat segalagala yang perlu untuk mencapai kejayaan.

"Saya berharap pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini dijadikan sebagai iktibar kepada kita, kepada pemimpinpemimpin Umno dan Barisan Nasional tentang apa yang harus kita lakukan (untuk mencapai) yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan kuarters Jabatan Kerja Raya di Jalan Cheras di sini hari ini.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika diminta mengulas harapan BN mempertahankan kerusi itu yang kosong ekoran kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor, 54, semalam akibat jangkitan dalam darah.

Allahyarham Azman, yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lepas dengan mengalahkan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. Azman mendapat 6,430 undi, manakala Ramli mendapat 4,097 undi.

Mengenai cadangan supaya bilangan perwakilan ke perhimpunan agung Umno ditambah sehingga 650,000 orang daripada 2,600 perwakilan pada masa ini, Najib berkata terlalu awal baginya untuk memberi sebarang komen kerana perkara itu masih di peringkat cadangan dan belum dibincang di peringkat Majlis Tertinggi Umno.

"Kita (Majlis Tertinggi Umno) akan memutuskan cadangan yang terbaik untuk masa depan parti itu dan pada masa ini kita sedang mendapatkan ulasan, cadangan balas dan tinjauan secara lebih terperinci atas setiap cadangan yang hendak dilakukan bagi penambahbaikan parti itu," kata Presiden Umno itu.

Beliau berkata demikian mengenai cadangancadangan yang diterima oleh Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno yang diumumkan oleh pengerusinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Naib Presiden Umno semalam.

Najib juga berkata, sebarang cadangan mengenai pindaan itu perlu dibuat secara kolektif dan bukan dibuat secara peribadi.

"Jadi, biarlah proses itu berjalan dan saya bersikap terbuka dalam hal ini malah sayalah yang pertama mengesyorkan supaya Perlembagaan Umno ini dipinda, dirombak semula supaya Umno lebih demokratik dan telus.

"(Supaya) Umno dapat memberi keyakinan yang lebih bukan sahaja di kalangan ahlinya tetapi yang penting sekali, rakyat mesti lihat Umno ini sebagai parti yang menepati citarasa mereka," katanya.

Hishammuddin semalam berkata kesemua maklum balas mengenai pindaan perlembagaan parti yang diterima daripada akar umbi akan dibawa kepada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno minggu depan sebelum dibawa kepada Majlis Tertinggi 11 Sept ini BERNAMA

Artikel Lain