suria

Pemuda terbunuh dalam pergaduhan di majlis perkahwinan

KAPIT: Satu majlis perkahwinan di sebuah rumah panjang di sini bertukar menjadi tragedi apabila ia dicemari dengan pergaduhan yang membawa kepada kematian seorang pemuda, awal pagi semalam. Ketua Polis Daerah Kapit DSP Entusa Iman berkata Jeffery anak Saban, 19, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Kapit di sini.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kirakira pukul 1.45 pagi di kawasan penempatan Sungai Pelajau di Bukit Goram dekat sini, dan Jeffery bersama beberapa rakannya adalah tetamu di majlis perkahwinan itu.

"Kami percaya berlaku perselisihan faham antara mereka, mungkin semasa mereka mabuk, yang membawa kepada pergaduhan, dan Jeffery dipercayai dipukul dengan batu bata serta objek tajam," katanya di sini semalam.

Katanya sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak Hospital Kapit, satu pasukan polis yang diketuai oleh ASP Chiew Swoi Kee bergegas ke tempat kejadian untuk menyiasat.

Entusa berkata dalam masa dua jam kemudiannya, polis menahan tujuh suspek yang berumur antara 19 dan 24 di dua lokasi, dan mereka kini ditahan reman selama 14 hari.

Katanya polis sedang menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Lain