suria

UM cadang hantar 600 pelajarnya ikuti program pertukaran pelajar setiap tahun

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) mensasarkan seramai 600 penuntut universiti itu untuk mengikuti program pertukaran pelajar ke luar negara setiap tahun.

Naib Canselornya, Datuk Dr Ghauth Jasmon berkata, langkah itu antara lain bagi menaikkan lagi taraf UM dalam Time Higher Education (THE), World University Ranking.

“Ini merupakan antara aktiviti yang diambil kira dalam ranking dunia (universiti). Universiti terkemuka di dunia menjalankan program pertukaran pelajar dalam jumlah yang besar, kami berharap mampu berbuat demikian (pertukaran pelajar) dengan jumlah lebih besar di masa depan, kami perlu tingkatkan jumlahnya.

“Kami berharap pada setiap tahun kami dapat menghantar beberapa ratus pelajar ke luar negara. Kami sudahpun berbuat demikian dengan 300 pelajar dan kami berharap dapat menggandakan jumlah itu,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UM dan Loughborough University (LU), Britain, di sini hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini, UM berada di kedudukan nombor 230 dalam carta ‘The World University Ranking 2008’ manakala pada carta ‘Asian University Ranking 2009’ pula, pusat pendidikan yang mula beroperasi semenjak tahun 1905 itu berada di kedudukan nombor 39. Katanya, kerjasama dalam menjalankan program pertukaran pelajar juga akan giat dijalankan bukan sahaja dengan universiti-universiti Amerika Syarikat ataupun Britain tetapi juga di rantau Asia seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Mengenai program pertukaran pelajar antara pelajar UM dan LU pula, beliau berkata, sebanyak enam pelajar dari UM akan dihantar ke universiti tersebut pada Januari depan manakala enam pelajar dari LU sedang mengikuti program tersebut di sini.

Menurut beliau, program pertukaran pelajar kali ini berbeza kerana pelajar yang terlibat bukan sahaja didedahkan kepada suasana pembelajaran di kedua-dua universiti namun mereka turut mengikuti sesi latihan dan praktikal di syarika-syarikat.

“Skopnya lebih luas, bukan sekadar antara institusi dengan institusi, tetapi turut melibatkan industri (syarikat). Dengan cara itu, kami membantu dalam meningkatkan keupayaan pelajar yang merupakan ciri penting. Jadi apabila mereka keluar untuk mencari kerja, mereka juga mempunyai pendedahan bekerja di syarikat,” katanya.

Naib Canselor LU Shirley Pearce mewakili universiti Britain itu dalam majlis menandatangani MoU tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

37 warga asing ditahan di Kg Ladang

Artikel Lain