suria

Kastam rampas rokok, minuman keras bernilai RM566,000

JOHOR BAHARU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor merampas 4.25 juta batang rokok putih dan 540 botol minuman keras bernilai RM566,000 dengan cukai berjumlah RM2.02 juta, yang cuba diseludup masuk ke negara ini.

Pengarah KDRM negeri Mhd Subre Ishak berkata rampasan itu dilakukan setelah menahan sebuah lori di Pintu Masuk Import, Wisma Kastam Tanjung Puteri, di sini, dua hari lepas.

Beliau berkata penahanan dibuat kirakira pukul 2.30 petang apabila sepasukan pegawai kastam menyedari lori itu yang berada di laluan pemeriksaan lori kosong mengubah laluannya ke laluan import secara tiba-tiba.

"Pemeriksaan di dalam lori itu menemui 4.25 juta batang rokok putih berjenama "League Virginia" itu yang bernilai RM552,500 dengan cukai berjumlah RM2.01 juta dan 540 botol minuman keras berjenama "Platinum Hill Merlot", yang bernilai RM13,500 dengan membabitkan cukai bernilai RM8,393," katanya kepada pemberita di Menara Kastam, di sini, hari ini.

Pemandu lori itu, seorang lelaki berumur 22 tahun cuba melarikan diri ketika pemeriksaan dibuat namun dia berjaya ditangkap oleh anggota kastam.

Beliau berkata pihaknya percaya kesemua rokok putih dan minuman keras itu akan dipasarkan di beberapa daerah di negeri ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 yang boleh dikenakan maksimum denda 20 kali nilai atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

37 warga asing ditahan di Kg Ladang

Artikel Lain