suria

Jawatankuasa Induk Umno syor akar umbi pilih pimpinan nasional

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno hari ini mengemukakan cadangan supaya ahli parti di semua peringkat diberi peluang untuk memilih barisan kepimpinan nasional.

Perkara ini diumumkan oleh Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas mempengerusikan mesyuarat induk itu di Menara Dato' Onn petang Jumaat.

Menurutnya, terdapat empat opsyen jumlah perwakilan yang akan dipertimbangkan iaitu daripada jumlah 60,000 hinggalah kepada 650,000 perwakilan.

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah, Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim dan Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim.

Bercakap kepada para pemberita kemudian, Hishammuddin yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan menambah, terdapat juga empat perkara lain yang turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Antaranya ialah bagaimana untuk menjadikan Umno lebih memenuhi aspirasi sayap parti itu;kedua usaha untuk mengurangkan tempoh masa berkempen untuk pemilihan cawangan dan bahagian yang akan didadakan serentak.

"Dengan menambah jumlah perwakilan yang boleh memilih daripada 2,500 orang sekarang kepada jumlah yang lebih besar kita akan memberi peluang yang lebih luas ahli parti diperingkat akar umbi untuk memilih siapa calon pemimpin yang mereka inginkan.

"Dengan memendekkan tempoh berkempen kita juga dapat mengurangkan politiking dan budaya ahli parti hanya 'berpolitik sokmo'(asyik berpolitik)," katanya.

Menurut beliau lagi, perkara ketiga yang dibincangkan ialah bagaimanakah untuk memudahkan ahli Umno bertanding jawatan dalam parti dengan mengkaji semula sistem kuota yang sedia ada.

Mengulas lanjut mengenai syor berkenaan,Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, sekiranya sistem kuota dihapuskan ia akan memudahkan ahli-ahli Umno bertanding jawatan tertinggi parti itu.

"Namun dalam masa yang sama kita tak mahu melihat suasana ahli yang sengaja nak seronok-seronok bertanding. Ada bahagian dan cawangan yang mencadangkan supaya ada syarat-syarat tertentu namun ianya tidak seketat sistem kuota.

"Calon akan dinilai dari segi kesungguhan, kesetiaan dan komitmen mereka yang hendak menawarkan diri bertanding jawatan-jawatan penting dalam Umno," katanya.

Perkara keempat katanya, ialah bagaimanakah hendak memudahkan proses untuk menjadi ahli Umno.

"Kelima-lima perkara pokok ini akan dibawa dalam Jawatankuasa Pengurusan Umno sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang akan diadakan pada 11 September ini.

"Saya cukup puas hati kerana proses mendapatkan pandangan itu datangnya daripada akar umbi kerana apa yang kita lakukan (pindaan perlembagaan) ini ialah untuk mereka," ujarnya.

Jika diterima oleh Majlis Tertinggi kelima-lima syor berkenaan akan dibawa sebagai usul dalam Perhimpunan Agung Umno Khas, Oktober ini.

Ketika diminta mengulas sama ada bahagian Umno selain Bukit Mertajam yang menolak cadangan pindaan perlembagaan itu sebelum ini, Hishammuddin berkata:

"Tidak ada. Umno Bukit Mertajam pun tak setuju kerana taklimat tidak diberikan."

"Saya dah minta Setiausaha Kerja, Datuk Abd Raof Yusoh menjalankan tugasnya untuk memberikan taklimat kepada Datuk Musa Sheikh Fadzir (Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam).Insya-Allah saya yakin itu pun tidak akan jadi isu lagi selepas ini,"katanya.

Jelas Hishammuddin beliau berharap dengan cadangan yang dikemukakan itu cukup untuk menyakinkan semua pihak bahawa Umno serius dalam meminda perlembagaannya.

"Kita serius dalam membuat perubahan terhadap parti (Umno) kita," katanya.

Mengenai sama ada syor pindaan perlembagaan yang dicadangkan itu akan dapat membanteras masalah rasuah dalam Umno, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata:

"Memang betul mustahil dan agak naif bahawa dengan pindaan perlembagaan ini kita dapat hapuskan rasuah.

"Rasuah datangnya dalam pelbagai bentuk dan sayaharap dengan lima perkara ini dapat membendung gejala rasuah. Usaha kita nak meminda perlembagaan bukan berkisar kepada politik wang tetapi kepada lima perkara pokok tadi," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

37 warga asing ditahan di Kg Ladang

Artikel Lain