suria

'Ulat bilik' nyaris maut ditikam sekumpulan lelaki

KUANTAN: Seorang 'ulat bilik' berusia 31 tahun nyaris maut selepas ditikam oleh sekumpulan lelaki kerana cuba memonopoli semua bilik sebuah hotel di pusat peranginan Genting Highlands semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ACP T.Narenasegaran berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam, mangsa dari Negeri Sembilan itu mengalami cedera parah di bahagian kanan punggung, tulang rusuk dan ketiak.

"Kehadiran mangsa yang cuba menunjuk lagak sebagai 'ulat bilik' baru di kawasan itu tidak disenangi oleh sekumpulan lelaki terbabit kerana mangsa cuba menutup pintu rezeki mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, mangsa dihantar oleh orang awam ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pembedahan.

Dalam kes lain, tiga pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam di Gebeng dekat sini ditahan kerana cuba mencuri motosikal di tempat letak motosikal di belakang sebuah pusat membeli belah East Coast Mall di sini.

Narenasegaran berkata pelajar berusia antara 19 dan 20 tahun itu ditahan ketika polis sedang menjalankan operasi di kawasan itu pada pukul 9.30 malam tadi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain