Remaja maut ditetak, dua rakan cedera parah - Semasa | mStar

Remaja maut ditetak, dua rakan cedera parah

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki maut manakala dua rakannya cedera parah apabila ditetak tiga lelaki dipercayai menggunakan tiga bilah parang panjang di sebuah kedai makan di Jalan 17, Taman Selayang Jaya, Batu Caves, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, M.Vinod, 19, sedang minum di kedai itu bersama empat rakannya sebelum didatangi tiga lelaki menaiki sebuah kereta jenis Kia Spectra berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata ketigatiga suspek berkenaan kemudiannya turun dari kenderaan mereka sebelum menetak mangsa dan dua rakannya.

"Dua lagi rakan mangsa sempat lari menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata Vinod yang bekerja sebagai kontraktor di sebuah syarikat berhampiran, mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah akibat ditetak di beberapa bahagian badan termasuk kepala, muka, keduadua belah tangan serta putus beberapa jari tangan kiri. Mayat Vinod dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. Dua rakannya yang turut diserang, R.Kumar, 23, cedera teruk akibat ditetak di bahu kiri manakala K.Rama, 36, pula cedera di muka.

"Keduaduanya dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut. Namun, dua lagi rakan Vinod yang sempat melarikan diri masih belum dapat dikesan," katanya.

Abdul Rahim berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali ketigatiga suspek dan serangan itu juga dipercayai bermotifkan dendam.

Katanya polis kini giat memburu ketigatiga suspek yang berjaya melarikan diri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," kata Abdul Rahim. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain