suria

Polis cari dua lelaki bantu siasatan kes penipuan

KUALA LUMPUR: Polis mencari dua lelaki yang disyaki terlibat kes penipuan berasingan yang masingmasing membabitkan kerugian wang tunai sebanyak RM100,000 dan RM1.9 juta.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman Supt Rasdi Ramli berkata lelaki pertama yang dicari ialah Zainol Othman Omar, 54, yang beralamat terakhir di No 4AT7U5, Presint 9, Putrajaya.

Beliau berkata lelaki itu dan beberapa rakannya didakwa memperdaya mangsa dengan memujuk mangsa serta bapa mangsa berkongsi membeli sebidang tanah di Sabah dengan harga RM800,000.

"Suspek mendakwa akan menjual semula tanah itu kepada seorang individu berstatus 'Datuk' dengan harga RM1.25 juta dan keuntungannya akan dikongsi bersama.

"Mangsa seorang pengusaha stesen minyak di Pendang Kedah terpengaruh dengan pujukan suspek dan memasukkan RM100,000 ke dalam satu akaun yang diminta oleh suspek dan selepas itu suspek menghilangkan diri dan gagal dikesan," kata Rasdi dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat C/Insp Anika Fatimah Mohd Arshad di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman di talian 03-26163953 atau 03-26163999.

Rasdi berkata kes kedua pula melibatkan seorang suspek yang dikenali sebagai Datuk Roslan Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Perkasa Management Sdn Bhd, di alamat No 9108, Jalan Setia, Taman Seri Budi, Batu Berendam Melaka.

Beliau berkata suspek telah memberikan Letter of Award (LA) kepada mangsa, seorang pengarah urusan syarikat di Shah Alam bagi melaksanakan kerja pengubahsuaian di Merak Melaka Beach Resort di Tanjung Kling, Melaka yang bernilai RM7.2 juta.

Mangsa bersetuju melaksanakan kerja pengubahsuaian itu setelah terpedaya dengan suspek yang mendakwa mempunyai kemudahan pinjaman bernilai RM9 juta dari sebuah bank tempatan, katanya.

Beliau berkata pihak bank bagaimanapun menafikan pernah memberi kemudahan pinjaman kepada suspek.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat DSP Amran Jusin di talian 03-26163948 atau 03-26163999. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain