suria

Pengawal keselamatan tembak mati penjenayah yang cuba menyamunnya

KUALA SELANGOR: Seorang pengawal keselamatan kilang menembak mati seorang lelaki yang cuba menyamunnya dalam kejadian di Jalan Ijok, Saujana Utama di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hasnan Hassan berkata ketika kejadian kira-kira pukul 6.05 pagi itu, pengawal keselamatan terbabit yang dalam perjalanan balik dari kilang memproses ayam di Batu 22, Jalan Ijok di sini untuk ke pejabat syarikat keselamatannya di Sungai Buloh dekat sini diekori dua lelaki (suspek) yang menaiki kereta jenis Toyota Vios.

Beliau berkata dua suspek itu bertindak melanggar belakang motosikal yang dinaiki mangsa beberapa kali menyebabkan mangsa jatuh dan mengalami kecederaan ringan.

"Bimbang keselamatan dirinya terancam terutama kejadian berlaku dalam keadaan masih gelap, mangsa bertindak menembak seorang dari suspek berkenaan menggunakan pump gun yang disandang pada bahunya menyebabkan lelaki berkenaan mengalami kecederaan parah di dada kirinya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hasnan berkata kedua-dua suspek kemudian dipercayai keluar dari kenderaan mereka dan cuba melarikan diri, namun seorang suspek yang ditembak rebah kira-kira 10 meter dari kenderaan mereka dan meninggal dunia manakala seorang lagi berjaya melarikan diri.

Beliau berkata suspek yang terbunuh berusia 29 tahun serta berasal dari Kepong, Kuala Lumpur dan siasatan mendapati suspek mempunyai 20 rekod jenayah samun serta pecah rumah di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pahang.

Suspek turut mempunyai 14 rekod sebagai penjenayah yang paling dikehendaki, katanya.

Hasnan berkata siasatan polis ke atas kereta yang dinaiki penjenayah berkenaan mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata polis turut menemui beberapa senjata seperti sebilah parang, pisau, dua stunt gun dan alat komunikasi 'walkie talkie' dalam kenderaan yang digunakan suspek terbabit.

Katanya mayat suspek yang ditembak mati dihantar ke Hospital Tanjong Karang dekat sini untuk dibedah siasat dan usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan menerusi 'Ops Tutup' yang dilancarkan serta merta.

Hasnan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain