suria

Mayat wanita ditimbus simen ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan seluruh badannya ditimbus dengan simen di sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Sri Selayang, Batu Caves, di sini, semalam.

Mayat wanita berusia dalam lingkungan 20an itu ditemui dalam keadaan terlentang di atas tangga di tingkat dua rumah kedai itu pada kira-kira pukul 12 tengahari.

"Mayat wanita itu ditimbuni simen dan hanya sepasang kaki dari buku lali yang kelihatan," kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Khaw Kok Chin.

Beliau berkata berdasarkan keadaan mayat yang telah bebau, polis percaya wanita itu mati sejak enam hari lepas.

Khaw berkata siasatan awal polis mendapati mangsa tinggal bersama kakak dan abang iparnya serta tiga anak saudaranya di rumah itu.

Sehubungan itu, polis meminta seorang lelaki, Muniandy a/l Shanmugam, 40, yang bekerja di sebuah kedai tayar berhampiran tempat kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Khaw berkata mayat wanita itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemilik rumah kedai terbabit, yang mahu dikenali sebagai Than, 30an, berkata beliau mula terhidu bau busuk sejak Ahad lepas tetapi hanya menyedari terdapat mayat manusia apabila menyuruh pekerjanya membersihkan kawasan itu.

"Tengahari tadi saya suruh pekerja bersihkan (kawasan bau busuk), mereka terkejut apabila nampak ada kaki orang di situ," katanya.

Than yang tinggal berdekatan kawasan itu berkata beliau melihat kakak dan abang ipar mangsa serta tiga anak mereka pindah dari rumah kedai itu pada pagi Ahad lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain