suria

Kabinet: UM mesti kekalkan Jabatan Pengajian India

PUTRAJAYA: Jabatan Pengajian India di Universiti Malaya, sebuah universiti terulung di negara ini, tidak akan dinamakan semula dan akan diketuai oleh seorang warga Malaysia keturunan India yang berkelayakan, demikian diputuskan Kabinet semalam.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, wakil tunggal kaum India dalam Kabinet, berkata Kabinet tidak bersetuju supaya nama jabatan itu ditukar, seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak.

Beliau berkata, Kabinet turut mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi supaya memastikan seorang warga Malaysia keturunan India yang berkelayakan untuk mengetuai jabatan berkenaan.

"Kedua-dua keputusan penting ini, diharapkan dapat menamatkan semua spekulasi berhubung status jabatan itu, dan siapa yang akan mengetuainya," katanya kepada pemberita sebelum mengadakan pertemuan dengan penyedia latihan untuk kementeriannya di sini hari ini.

Isu itu timbul awal bulan lepas apabila universiti berkenaan memutuskan untuk melantik seorang yang bukan daripada keturunan India untuk mengetuai jabatan itu. Cadangan itu mendapat bantahan keras kalangan masyarakat India Malaysia dan MIC.

Pihak berkuasa universiti itu turut memikirkan pertukaran nama jabatan berkenaan selepas menerima beberapa cadangan.

Mengenai bayaran bonus Hari Raya kepada kakitangan kerajaan, beliau berkata mesyuarat Kabinet hari ini turut membincangkan perkara itu tetapi tidak membuat sebarang keputusan.

"Ekonomi negara kita tidak begitu baik ketika ini. Kita mencatatkan defisit empat peratus. Negara terjejas teruk akibat krisis ekonomi. Sungguhpun kami membincangkan perkara ini, kami perlu mengambil kira keadaan semasa ekonomi negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata pegawai sumber manusia daripada kerajaan Malaysia dan Indonesia mengadakan beberapa perbincangan bagi mencari penyelesaian terhadap halangan untuk menghantar semula pembantu rumah warga Indoensia untuk bekerja di negara ini.

"Mereka mengadakan mesyuarat pada 20 Ogos, dan satu mesyuarat lagi akan diadakan pada 5 Sept di Jakarta. Kami perlu menunggu keputusan mesyuarat ini sebelum mengumumkan apaapa keputusan," katanya, sambil menyuarakan keyakinan bahawa perkara itu akan dapat diselesaikan segera.

Kirakira dua bulan lepas, Indonesia melarang warganya daripada bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia selepas media memaparkan beberapa laporan mengenai kes penderaan pembantu rumah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain