suria

Isu kuil: Hishammuddin yakin akan selesai

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau yakin isu cadangan pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam akan selesai apabila penduduk di situ mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Hindu Sanggam malam tadi.

Beliau turut memuji tindakan proaktif penduduk yang telah mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan itu sebelum ini bagi mencari penyelesaian berhubung isu itu. "Rupanya mereka telah berjumpa dua hari lepas. Mungkin malam tadi, mereka akan berbincang lagi dan hari ini akan mengeluarkan satu kenyataan bersama," katanya kepada pemberita selepas menemui Persatuan Komuniti Seksyen 23 Shah Alam di pejabatnya di sini semalam.

Hishammuddin berkata beliau akan memantau perbincangan itu dan jika mereka mahu beliau menjadi orang tengah, beliau bersedia berbuat demikian.

"Bagaimanapun, cara mereka melaporkan dan memaklumkan kepada saya tadi, nampaknya mereka boleh menyelesaikannya," katanya.

Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor mencabar manamana pihak supaya mengemukakan penyelesaian yang lebih baik dalam isu itu.

"Kalau dia kata boleh tunjukkan kita keputusan yang lebih baik daripada yang kita buat, silalah. Itulah sebab kita tulis surat kepada mereka yang membuat kenyataan akhbar termasuk menterimenteri," katanya.

Katanya kerajaan negeri akan mengadakan beberapa dialog bagi menerangkan proses pemilihan tapak untuk pemindahan kuil itu yang menimbulkan kemarahan penduduk kerana ia berdekatan dengan kediaman mereka.

Khalid berkata masalah kuil ini bukan masalah kerajaan negeri sekarang tetapi masalah kerajaan dahulu yang masih tidak dapat menyelesaikan isu ini.

Di KUALA LUMPUR pula, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata polis telah mengenal pasti dalang di sebalik demontrasi di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang membawa kepala lembu bagi membantah pembinaan kuil berkenaan.

Katanya polis telah mengambil 60 keterangan dalam tempoh tiga hari bagi mengenal pasti mereka yang terbabit dalam demontrasi yang mencetuskan kontroversi itu Jumaat lepas. "Kita tunggulah untuk hadapkan mereka ke mahkamah," katanya.

Mengenai dakwaan pembangkang kononnya polis tidak serius menangani isu tersebut, Musa berkata ia adalah satu dakwaan tidak berasas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain