suria

Surirumah bebas tuduhan bunuh anak kandung

SHAH ALAM: Seorang surirumah hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan membunuh anak kandungnya berusia dua tahun tanpa dipanggil membela diri.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap, Nor Haryanti Nordin, 29, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata keterangan saksisaksi pendakwaan terutamanya suami tertuduh, Ahmad Iskandar Ibrahim, dan seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat tidak menyokong untuk mensabitkan Nor Haryanti dengan pertuduhan.

Beliau berkata mahkamah menerima laporan bedah siasat mangsa sebagai bahan bukti tetapi tidak dapat menerima isi kandungannya kerana doktor dan dua pegawai perubatan yang menjalankan bedah siasat itu tidak dipanggil memberi keterangan.

"Laporan bedah siasat mengatakan punca kematian mangsa ialah disebabkan pendarahan dalaman iaitu pada usus kecil dan hati, tetapi seperti yang saya katakan, doktor dan pegawai perubatan yang telah bersama melakukan bedah siasat gagal dipanggil untuk menyokong pihak pendakwaan," katanya.

Sejurus mahkamah membuat keputusan, Nor haryanti yang berdiri di kandang tertuduh, dilihat menangis kegembiraan.

Nor Haryanti, bekas pembantu kawalan kredit MK Land Bhd, dituduh membunuh Nur Iszyani Amylia Ahmad Iskandar di rumah mereka di Apartmen Idaman Damansara Damai, Sungai Buloh dekat sini, antara 25 dan 26 April 2004.

Tertuduh yang diwakili peguam M.Manoharan dan S.R.Sreedevi Naidu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail memanggil 13 saksi memberi keterangan.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah Nor Haryanti yang mendukung erat seorang lagi anak perempuannya, Nur Zulaikha Ahmad Iskandar, 2 tahun, berkata pembebasannya merupakan satu rahmat sempena bulan Ramadan ini.

"Saya tidak bunuh anak saya tapi saya dituduh (membunuhnya). Kalau saya tidak sayang anak saya kenapa saya banyak habiskan beribu ringgit untuk kos perubatan anak saya yang meninggal itu?

"Selama ini saya sangat derita dan tidak gembira walaupun saya dibebaskan dengan jaminan. Apapun saya tetap tabah dan bersabar selama ini dan ternyata pembebasan ini adalah hadiah atas segala penderitaan saya selama ini," kata Nor Haryanti yang turut ditemani suaminya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Nor Iszyani meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada 9.55 pagi 26 April 2004 selepas dihantar oleh bapanya, seorang pengurus pengeluaran kilang perabot, kerana dikatakan demam.

Doktor bagaimanapun mengesahkan kematian mangsa akibat didera ekoran penemuan kesankesan lebam di badan.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain