suria

Sebutan semula kes liwat Anwar 3 November

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 3 November depan bagi sebutan semula kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara tersebut diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah selepas Timbalan Pendakwaraya, Nordin Hassan memberitahu bahawa Mahkamah Rayuan telah menetapkan 23 Oktober untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi untuk membekalkan dokumen yang diminta Anwar bagi memumdahkannya membuat persediaan pembelaan dalam kes liwatnya.

Beliau juga memohon agar tarikh yang sama ditetapkan untuk sebutan bagi permohonan Anwar agar pertuduhan meliwat itu digugurkan.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) turut menetapkan 3 November untuk semakan kehakiman bagi membatalkan satu kenyataan bertulis oleh pihak pendakwaan berhubung kes liwat itu.

Perkara itu diputuskan Hakim Lau Bee Lan dalam kamarnya hari ini.

Pada 24 Jun lepas, Anwar menerima kenyataan itu yang ditandatangani oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria yang menyatakan bahawa tidak ada bukti yang memihak kepada pihak pembelaan dalam kes it

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata pihaknya akan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

"Setakat ini kita akan ikut proses itu sahaja. Kita akan siap untuk perbicaraan. Yang memohon untuk menangguhkan itu pihak pendakwa. Selama ini saya yang disalahkan.

"Dulu, kita minta dokumen, sekarang masalah itu belum selesai. Pendakwa memohon membawa rayuan ini kerana tidak bersetuju dengan hakim untuk memberi sebahagian besar dokumen kepada kita.

"Ini satu kes jenayah tapi pihak pendakwa tak mahu serahkan dokumen tersebut seperti yang diputuskan oleh hakim dan rayuan dibawa Oleh demikian kes tertanggugh lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar perkarangan mahkamah di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi bersama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain